Penduduk kawasan luar bandar masih memerlukan perhatian

0

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berharap penduduk di kawasan luar bandar tidak bangkit menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) hasil bantuan pembangkang di negeri ini.

Ini kerana penduduk luar bandar masih memerlukan perhatian yang sewajarnya daripada kerajaan BN bagi tujuan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di kawasan masing-masing.

“Apabila anda (penduduk di kawasan luar bandar) dengan kerjasama pihak pembangkang bangkit menentang BN maka secara tidak langsung boleh menjejaskan usaha pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan untuk mereka pada masa akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Siang, Sri Aman di sini malam kelmarin.

Penduduk luar bandar, sebaliknya harus sentiasa bersama-sama dengan BN untuk memastikan kelancaran projek pembangunan di kawasan masing-masing demi memastikan peningkatan taraf hidup dari semasa ke semasa.

“Lagipun pembangkang hanya petah bercakap tetapi tidak banyak bekerja untuk membantu membangunkan hidup penduduk di kawasan luar bandar yang masih jauh ketinggalan daripada segala aspek pembangunan.

“Kemampuan mereka tidak seperti BN yang berusaha keras meningkatkan taraf hidup penduduk secara sistematik dan berperingkat-peringkat di kawasan dalam dan luar bandar negeri ini,” katanya.

Justeru, Harden mahu penduduk di kawasan Sri Aman ini khasnya terus setia di belakang BN memandangkan hanya kerana mereka sahaja yang mempunyai kemampuan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk.

Hadir sama Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Pengerusi JKKK Taman Siang Edmade Rujis, ahli-ahli JKKK serta kakitangan kerajaan yang lain.