BN, PBB tidak khuatir strategi DAP

0

Pembukaan Pusat Khidmat di Tupong sebahagian amalan demokrasi

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Negeri dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak risau dengan pembukaan cawangan terbaharu Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak di kawasan Tupong.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Datuk Daud Abdul Rahman, pembukaan Pusat Khidmat DAP langsung tidak memberi kesan terhadap sokongan penduduk di situ kepada BN dan PBB.

“Ia merupakan hak DAP untuk membuka cawangannya di Tupong sebagai amalan demokrasi di negara ini.

“Saya cuma berharap proses Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang berjalan dengan lancar dan DAP akan menerima keputusan dengan hati yang terbuka sekiranya mereka kalah nanti,” ujar Daud.

Beliau berkata demikian setelah Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mengumumkan pembukaan Pusat Khidmat parti pembangkang tersebut di kawasan DUN Tupong dalam usaha untuk mendekati penduduk kaum bukan Cina di situ, kelmarin.

Chong berkata, usaha tersebut merupakan antara perancangan parti DAP untuk menawan kawasan Melayu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Sementara itu, Daud berkata, keputusan DAP meletakkan wakil Bumiputera untuk mengendalikan Pusat Khidmat mereka di situ merupakan strategi pihak pembangkang untuk menarik minat para pengundi di kawasan Tupong yang majoritinya berbangsa Melayu menjelang PRN nanti.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, kita tidak pernah tewas kepada parti pembangkang di kawasan Melayu dan saya yakin sokongan rakyat terhadap BN dan PBB di negeri ini akan terus kekal,” tambahnya.

Pendapat Daud turut dikongsi oleh ADUN Samariang merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang memberitahu sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, ia merupakan hak DAP untuk menubuhkan cawangan atau pusat khidmat di mana sahaja di negeri ini.

“Bagi BN dan PBB, kita tidak teruja dengan penubuhan cawangan DAP di kawasan N.6 Tupong.

“Ini kerana selama ini BN dan PBB telah memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat serta membela nasib semua kaum bukan sahaja di kawasan Tupong, malah di seluruh negeri Sarawak,” tegas Hasidah.

Sementara itu, ahli Majlis Tertinggi BN negeri merangkap ADUN Asajaya, Abdul Karim Rahman Hamzah ketika dihubungi berkata, ia merupakan hak parti-parti yang bertanding di negara ini untuk membuka cawangan masing-masing di mana-mana sahaja.

“Kalau DAP nak buka cawangan di Tupong, bukalah. Mereka juga dipersilakan untuk membuka cawangan di Samarahan atau Asajaya.

“Namun malangnya, terdapat segelintir graduan kaum Bumiputera yang buta sejarah, bagaikan kacang lupakan kulit jika dibandingkan dengan rakyat biasa lain yang lebih mengetahui perjuangan BN dan PBB iaitu untuk mensejahterakan rakyat, khasnya Bumiputera,” jelas Abdul Karim.

Menurutnya lagi, rakyat Sarawak adalah bijak dalam membuat analisis di antara parti yang berjuang untuk rakyat khasnya Bumiputera dan parti yang berjuang untuk satu kaum sahaja, maka BN dan PBB tidak risau atas perkembangan terbaharu parti pembangkang tersebut.