Kenderaan dilarikan penjenayah, tiga bersaudara berdepan detik cemas

0

KOTA KINABALU: Seorang wanita tempatan dan dua anak saudaranya berhadapan detik cemas setelah kenderaan yang dinaiki bukan sahaja dilarikan, malah mereka turut diculik dalam satu kejadian rompakan berhampiran pasaraya di ibu negeri baru-baru ini.

Dalam insiden sekitar jam 9.30 malam di Tong Hing itu, mangsa sedang menanti teman lelakinya yang pergi membeli barangan dapur di situ di dalam kenderaan berkenaan sebelum mereka didatangi oleh dua lelaki tidak dikenali dan berusia 20an.

Dua suspek terbabit kemudiannya bertindak memasuki kenderaan itu termasuk di bahagian tempat duduk pemandu sebelum melarikannya bersama-sama mangsa dan dua anak saudaranya yang berusia belasan tahun.

Teman lelaki mangsa yang menyedari akan kejadian itu kemudiannya bergegas mengejar kenderaan itu namun gagal berikutan suspek memecut laju keluar daripada kawasan itu.

Suspek kemudiannya meninggalkan kesemua mangsa di sebuah kawasan berhampiran jalan raya Kolombong, dan salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan ringan di bahagian muka setelah bergelut dengan penjenayah terbabit di dalam kenderaan jenis Proton Saga berkenaan.

Ketiga-tiga mangsa telah diselamatkan oleh orang ramai yang secara kebetulan berada di tempat kejadian lalu menerima rawatan lanjut di hospital sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

“Usaha mengesan suspek dan kenderaan yang telah dilarikan masih giat dilaksanakan.

“Polis meminta kepada orang ramai yang menyaksikan insiden itu untuk tampil segera ke mana-mana balai terdekat bagi membantu siasatan,” katanya sambil menambah, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Chandra turut menasihatkan kepada masyarakat supaya tidak leka terhadap aspek keselamatan termasuk mengunci kenderaan masing-masing terutamanya keluar meninggalkannya untuk berurusan.

“Rata-rata insiden kereta dilarikan ini adalah berpunca daripada kecuaian pemiliknya sendiri kerana tidak peka akan faktor keselamatan terutamanya ketika meninggalkan kenderaan masing-masing.

“Sehubungan itu, polis ingin menasihatkan kepada orang ramai agar meningkatkan kesedaran mengenai tahap keselamatan anda agar kejadian seumpama ini tidak berlaku di masa hadapan,” katanya.