Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang

0

Abu Bakar Taraji

LAHAD DATU: Dua keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran di Taman Warisan 4, Jalan Tengah Nipah, di sini, malam Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, PBK ll Abu Bakar Taraji berkata dalam masa sama anggota bomba dan penyelamat turut berjaya menyelamatkan dua buah rumah lain daripada musnah terbakar.

Menurut Abu, pihak bomba telah dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada jam 2.17 pagi dan mengerahkan seramai enam anggota bomba bersama sebuah jentera yang diketuai oleh PBK II Kasdi Latimin ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kita mendapati api telah memusnahkan dua buah rumah namun anggota bertugas yang bertindak pantas turut berjaya menyelamatkan dua buah rumah lain daripada turut musnah,” katanya.

Pihaknya mengambil masa kira-kira sejam lebih bagi mengawal kebakaran dari pada terus merebak ke kawasan rumah berhampiran sebelum operasi itu ditamatkan pada kira-kira jam 6.08 pagi.

Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam kejadian itu kini masih dalam siasatan.