Tuesday, November 24

Ketepikan politik, bersama kibar Jalur Gemilang: Mawan

0

KUCHING: Masyarakat umum diingatkan untuk menyambut Bulan Kemerdekaan dan bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dengan mengetepikan perbezaan politik.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata, sebaliknya sambutan yang bermakna itu harus disambut dengan penuh perpaduan dan semangat patriotik.

Mengulas mengenai beberapa kawasan di Kuching khasnya di pusat bandar raya di bawah konstituensi pembangkang yang kurang mengibarkan Jalur Gemilang sejak dua tahun lepas, Mawan berkata, sememangnya tidak ada penguatkuasaan mengenai perkara berkenaan.

“Namun, sebagai rakyat Malaysia kita sepatutnya menunjukkan semangat patriotik dengan cara mudah sahaja iaitu bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang.

“Kita mengakui ada dua kumpulan politik yang berbeza tetapi ia sebenarnya harus diketepikan khasnya pada Bulan Kemerdekaan kerana kempen Jalur Gemilang ini amat jauh daripada isu politik,” katanya.

Bercakap pada sidang media berhubung Majlis Pelancaran Kemerdekaan Ke-56 dan Kempen Jalur Gemilang di pejabatnya di sini semalam, Mawan berkata Malaysia bukan sebuah negara kuku besi yang memaksa semua rakyatnya mengibarkan Jalur Gemilang.

“Kita memang tidak boleh menjangkakan semua orang mengibarkan Jalur Gemilang. Apa yang lebih penting ialah menyemai semangat cintakan negara di kalangan masyarakat,” tegasnya.

Sementara itu, katanya, majlis yang akan diadakan pada 16 Ogos di Tebingan Kuching adalah simbolik pelancaran kempen bagi peringkat negeri.

Mawan berkata, kempen berkenaan akan diadakan di semua bahagian di negeri ini selama sebulan iaitu sehingga 16 September sempena sambutan Kemerdekaan Ke-56.

Menurut beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan Hari Kemerdekaan, kempen itu akan diadakan serentak seluruh negara dengan tema ‘Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku.’

“Kita amat berbesar hati untuk menganjurkan program ini kerana ia satu acara yang amat penting dan bermakna dalam mewujudkan kesedaran di kalangan warga Malaysia tentang kesetiaan dan semangat patriotik kepada negara.

“Kadangkala, ramai di kalangan kita amat sibuk dengan aktiviti harian sehingga kita lupa tentang kepentingan sebagai warganegara Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Antara program lain yang diadakan sepanjang tempoh berkenaan termasuk Perarakan Kapal Berhias pada 15 September di Tebingan Kuching dan Perarakan serta Rapat Raksasa pada 16 September di Padang Merdeka.

Hadir sama Residen Bahagian Kuching Abang Shamshudin Abang Seruji.