Mayat lelaki reput ditemui

0

Anggota polis mengangkat mayat yang ditemui terbabit.

SANDAKAN: Mayat seorang lelaki hampir reput dijumpai di sebuah pondok tidak beratap di Jalan Fook Kim berhampiran sebuah pembinaan perumahan, petang Rabu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Rowell Marong mengesahkan penemuan mayat berkenaan dan berkata mayat yang tiada identiti itu ditemui hanya berseluar jeans.

Beliau berkata mayat itu ditemui kira-kira jam 3 petang oleh pekerja tapak pembinaan berhampiran sebelum menghubungi polis.

“Mayat lelaki berkenaan kemudiannya dihantar oleh polis ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat,” katanya.

Rowell berkata, pihaknya belum lagi dapat mengenal pasti punca kematian dan masih menunggu laporan bedah siasat.

Beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga agar menghubungi pihak polis bagi melakukan pengecaman dan membantu siasatan.

Ini adalah mayat reput yang kedua ditemui di sini dalam seminggu yang mana mayat pertama juga seorang lelaki dijumpai di dalam semak di Kampung Icebox Mangkalinau Batu 3, tengahari Isnin.