Najib makin popular selepas PRU13

0

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mencapai 100 hari pada Selasa sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), kini semakin popular dan terus menjadi pilihan nombor satu rakyat dalam mengharungi suasana politik yang kian mencabar, kata tokoh politik terkenal Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Beliau berkata populariti presiden UMNO itu terus meningkat berikutan kejayaannya menerajui parti itu meraih lebih banyak kerusi Parlimen dan sekali gus mengekalkan UMNO sebagai parti dominan serta menjadi pilihan utama rakyat.

“Jelas sekali, Najib berdepan dengan pertarungan politik bagi menentang parti yang mengamalkan politik ‘melampau’ dari segi pendekatan mereka.

“Bagaimanapun, beliau (Najib) berjaya mengimbangi antara prinsip perjuangan UMNO dan keadilan untuk semua dengan mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan untuk rakyat daripada segenap lapisan kehidupan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu berkata demikian bagi mengulas cabaran politik yang dihadapi Najib dalam tempoh 100 hari pentadbirannya selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri berikutan kejayaan Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasanya melalui PRU13 pada Mei tahun ini.

Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, berkata Najib secara tangkas membalas ‘persepsi politik’ penentangnya dengan membawa hasil atau “mengotakan apa yang beliau janjikan atau suarakan kepada rakyat”.

“Rakyat sudah muak dengan kerenah mereka yang tidak henti-henti melancarkan propaganda politik. Sebaliknya, Najib lebih fokus dan terus memberi yang terbaik kepada rakyat serta tidak mempedulikan sandiwara politik pembangkang,” katanya.

Sejajar dengan itu, bekas ketua menteri Sabah ini mengingatkan anggota UMNO supaya tidak terpedaya oleh permainan politik pembangkang, yang cuba meraih keuntungan atau menangguk di air keruh daripada sesuatu keadaan.

Salleh berkata agenda transformasi politik yang dilaksanakan Najib sebagai pre-siden UMNO berjaya meraih tambahan 30 peratus undi untuk UMNO pada pilihan raya umum lepas.

“Ini terbukti melalui pe-ningkatan jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi parti itu daripada 79 dalam PRU12 pada 2008 kepada 88 pada PRU13.

“Jika dilihat pada 89 kerusi yang dimenangi pembangkang, sebagai sebuah parti, UMNO secara bersendiri-an dapat menyaingi jumlah kerusi yang diraih secara bersama oleh ketiga-tiga parti pembangkang (DAP, PKR dan PAS),” katanya.

Salleh berkata pencapaian BN pada 2008 dan 2013 tidak boleh dibuat perbandingan atau dihakimi secara matematik kerana senario politik yang berbeza.

“Pelbagai transformasi politik telah dilaksanakan di bawah kepimpinan Najib, terutama dalam UMNO dan sebab itulah pada pilihan raya umum lepas, UMNO secara jelas kekal sebagai parti yang menjadi pilihan majoriti rakyat.

“UMNO telah membukti-kan kemampuannya untuk mengharungi medan politik tanah air apabila berjaya menawan kembali Kedah (daripada pembangkang) dan Perak (yang dikuasai pembangkang pada 2008) dengan jumlah undi yang bertambah,” katanya.

Malangnya, kata Salleh, sokongan terhadap parti komponen BN lain mengalami kemerosotan dan “perkara ini sedang ditangani perdana menteri dengan matlamat akhirnya untuk menyatupadukan seluruh rakyat, terutama dari segi hubungan sesama mereka yang kelihatan agak rapuh, hingga boleh mewujudkan polarisasi kaum”.

Beliau berkata setelah meng-ambil kira semua perkembangan itu, sebagai perdana menteri yang berwawasan jauh, pada 26 Jun lepas, Najib mengambil langkah proaktif dengan mencadangkan penubuhan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional sebagai usaha mengeratkan hubu-ngan kaum dan mengukuhkan perpaduan nasional.

“Kita (dalam UMNO) tidak sepatutnya terperangkap oleh politik pembangkang,” kata-nya sambil menambah bahawa Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sering turun padang untuk berkhidmat kepada rakyat di peringkat akar umbi. — Bernama