Pantau kegiatan pelawat asing salah guna pas lawatan untuk kutip derma

0

MIRI: Pihak berkuasa di sini diminta untuk memantau aktiviti segelintir pelawat asing yang disyaki menyalahgunakan pas lawatan mereka dengan mengambil kesempatan untuk mengutip derma daripada penduduk tempatan.

Kumpulan tersebut yang bergerak secara kecil-kecilan dianggotai oleh beberapa wanita dipercayai warga asing, mengutip derma daripada orang awam yang menurut mereka untuk membantu golongan susah dan miskin, termasuk kanak-kanak yatim di negara asal mereka.

“Kumpulan ini kerap dilihat melakukan aktiviti mereka di tempat awam seperti kedai-kedai makan, restoran dan kadangkala menahan orang awam yang lalu-lalang di kaki-kaki lima kedai dengan menunjukkan ‘pengesahan’ mereka sebagai wakil yang mengutip derma berkenaan,” demikian menurut seorang penduduk tempatan yang menghubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Beliau yang hanya mahu mendedahkan namanya sebagai Lim berkata, beliau adalah antara orang yang kerap didatangi oleh kumpulan berkenaan, terutama ketika makan bersama rakan-rakannya.

Menurut beliau, kumpulan tersebut terdiri daripada dua atau tiga orang wanita, menghampiri orang ramai dari meja ke meja dan menyanyi sambil bermain gitar tanpa diminta, selepas menyanyi atau kadangkala sambil menyanyi mereka menghulurkan kad kutipan tersebut dan meminta derma.

“Tidak kira berapa kita beri, mereka akan terima sahaja, manakala kita kemudian diminta menurunkan nama atau tandatangan pada kad kutipan derma tersebut,” katanya.

Pada awalnya, menurut Lim, beliau terpedaya dengan menunjukkan belas kasihannya dengan memberi sumbangan, bagaimanapun setelah acap kali melihat kumpulan tersebut ‘berkeliaran’ di sekitar bandar raya khususnya di premis-premis makanan di pusat bandar, dengan modus operandi yang sama, beliau mulai melahirkan rasa curiga terhadap kegiatan ‘amal’ tersebut.

Beliau yang sering menikmati makan tengah harinya di salah sebuah premis makanan di Miri Waterfront di sini berkata, sejak itu beliau sering menolak untuk menderma dan hasil pemerhatian beliau juga bukan hanya dia yang menolak tetapi juga pelanggan-pelanggan lain.

“Bukan kerana kami tidak prihatin dengan golongan kurang upaya atau badan-badan amal ini, tetapi saya rasa orang sudah mulai mencurigai kegiatan mereka. Apatah lagi dari dialek mereka, kita tahu mereka bukan penduduk tempatan.

“Malah daripada kad yang ditunjukkan, kita boleh tahu ia adalah kad kutipan derma untuk badan amal di negara asal mereka, bukan di Malaysia. Apa yang merungsingkan kita ialah adalah badan amal tersebut benar-benar wujud atau ia hanyalah satu sindiket penipuan semata-mata di mana wang yang didermakan oleh orang awam di sini bukan untuk badan amal tetapi masuk poket mereka atau seseorang,” tambahnya.

Menurut Lim lagi, untuk membuat kutipan derma seperti itu, pihak tersebut memerlukan premit sah daripada pihak berkuasa tempatan dan beliau mempersoalkan sama ada mereka ini ada memiliki permit sah atau bergerak secara haram.

“Justeru, saya rasa penting bagi pihak berkuasa tempatan memantau dan membuat pemeriksaan ke atas kumpulan ini, dan jika ia satu sindiket penipuan, modus operandi mereka perlu dihentikan sebelum lebih ramai penduduk tempatan tertipu,” jelasnya lagi.