Peniaga makanan rayu pampasan kerana gerai akan diroboh

0

GEORGE TOWN: Seorang penjaja makanan di kaki lima berhampiran Pangsapuri Mutiara Idaman di sini merayu supaya dibayar pampasan oleh kerajaan negeri apabila gerai yang disewanya akan diroboh atas alasan pelebaran jalan di kawasan itu.

Johar Che Kassim, 59, berkata, beliau hanya diberi peringatan secara lisan oleh seorang petugas dari Pejabat Daerah dan Tanah di sini bahawa gerai itu akan diroboh dalam sehari dua ini jika beliau enggan merobohkannya sendiri.

“Pejabat Tanah meng-arahkan saya merobohkan gerai pada bulan Ramadan lepas dan jika saya enggan berbuat demikan, mereka akan merobohkannya dalam tempoh terdekat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Johar yang juga pesara tentera dan seorang kurang upaya (OKU) berkata, menjaja makanan adalah satu-satunya mata pencariannya setelah bersara selain menerima elaun bulanan OKU sebanyak RM280 sebulan.

“Sewa gerai sebulan saya bayar RM28. Disebabkan masalah teknikal, saya tidak mendapat apa-apa pampasan sedangkan ada empat buah gerai telah diberi pampasan,” dakwanya. — Bernama