Myvi terbakar, dua lelaki sempat selamatkan diri

0

KELIHATAN anggota bomba memeriksa keadaan kenderaan itu yang hangus terbakar sebaik terbabit nahas di Jalan Teluk Sepanggar malam semalam.

KOTA KINABALU: Dua lelaki tempatan nyaris mengalami kemalangan jiwa dan terselamat setelah kenderaan dinaiki mereka terbabit nahas sebelum terbakar di Jalan Teluk Sepanggar malam semalam.

Difahamkan dalam insiden sekitar jam 11.30 malam itu, pemandu Perodua Myvi berkenaan yang berusia 21 tahun dan rakannya berumur 19 tahun sedang dalam perjalanan pulang ke Sepanggar dari arah pusat bandar.

Setibanya di lokasi berkenaan, dengan tidak semena-mena mangsa gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas ke tepi jalan dan merempuh tiang elektrik.

Selang beberapa minit kemudian, Perodua Myvi itu terbakar sehingga hampir menyebabkan kedua-dua mangsa terperangkap di dalam kenderaan berkenaan, namun mereka sempat menyelamatkan diri.

Timbalan Ketua Polis Kota Kinabalu, Superitendan M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, kedua-dua mangsa difahamkan mengalami kecederaan ringan di dalam kejadian itu dan telah menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu sekitar jam 11.25 malam dan dua jentera dengan kekuatan 13 anggota digegaskan ke lokasi terbabit.

“Kenderaan mangsa musnah terbakar dan kita berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 20 minit sebaik tiba di tempat kejadian. Punca dan jumlah kerugian masih disiasat,” katanya.