Bekas polis era darurat dijangka terima pingat awal tahun depan

0

KUCHING: Bekas polis yang berkhidmat ketika era darurat dijangka menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara pada awal tahun depan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka mempertahankan keselamatan negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pingat tersebut sama tahap dengan Pingat Jasa Malaysia yang dianugerahkan kepada tentera.

Menurutnya, kerajaan akan meluluskan pemberian pingat itu dalam masa terdekat.

“Inilah (pemberian pingat) fokus pertama saya semasa dilantik sebegai Timbalan Menteri Dalam Negeri sebagai langkah menghargai pengorbanan pejuang polis semasa era darurat di seluruh negara.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara prinsipnya bersetuju untuk mengeluarkan pingat ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Khas Tergempar Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Sarawak semalam.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Ali Hamsa amat positif dengan pemberian itu dan bersetuju untuk membawa perkara itu ke kabinet.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan KSN dan secara prinsipnya beliau bersetuju memajukan perkara ini ke kabinet untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, buat permulaan KDN akan membiayai kos untuk pengeluaran pingat itu.

“Saya memang berharap awal tahun depan kita boleh sampaikan pingat ini kerana ia adalah untuk pejuang polis, pembantu polis, orang awam yang membantu polis dan polis luar negara yang membantu polis kita,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi yang juga Pengerusi PBPM Sarawak berkata, persatuan itu akan mengadakan Malam Jasamu Dikenang pada 20 Ogos ini di Riverside Majestic.

Tambahnya, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dijangka hadir sebagai tetamu kehormat majlis itu.

“Saya menyeru dermawan dan ahli korporat agar tampil untuk memberi bantuan bagi membolehkan persatuan menjalankan tanggungjawab secara lebih berkesan dan teratur,” kata Wan Junaidi.