Tuesday, February 7

Jelmakan semangat cintakan negara dalam urusan seharian: Mukhriz

0

SUNGAI PETANI: Semangat cintakan negara perlu dijelmakan dalam urusan seharian dan dizahir dalam kehidupan bermasyarakat agar perpaduan antara kaum yang terjalin selama ini terus berkekalan, kata Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata, kemerdekaan tidak boleh dipisahkan daripada kemajuan dan perpaduan dan apabila digabungkan semuanya dalam satu wadah, akan lahirlah sebuah negara yang aman dan makmur.

“Sebagai negara yang merdeka, kita bebas menyusun dan mentadbir mengikut acuan sendiri, namun tiada keamanan tanpa perpaduan, dan sudah tentu tidak akan makmur sebuah negara jika tidak aman.

“Maka perpaduan kaum mesti berkekalan kerana ia menjadi kunci yang membebaskan kita dari belenggu penjajahan,” katanya pada Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan ke-56 dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dataran Zero di sini malam.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di depan kira-kira 50,000 pengunjung yang membanjiri Dataran Zero bagi menyaksikan acara yang julung-julung kali diadakan di Kedah itu.

Mukhriz juga berkata sebagai menghargai apa yang dikecapi selama ini, rakyat Malaysia diseru mengibarkan Jalur Gemilang tanpa rasa janggal, sekadar ikut-ikutan atau suka-suka, sebaliknya dengan penuh penghormatan dan kebanggaan.

“Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain berwarna dan bercorak yang dinamakan bendera, tetapi merupakan lambang kedaulatan negara, justeru, ia harus dihormati dan dijunjung sebagaimana kita, sebagai rakyat Malaysia, menghayati serta menghargai erti sebenar kemerdekaan dan kebebasan.

“Kibarkan Jalur Gemilang sambil menghayati sepenuhnya nilai-nilai murni seorang warganegara iaitu Taat, Setia, Jujur, Ikhlas dan Sedia Berkorban demi Agama, Bangsa dan Tanah Air,” katanya.

Beliau berkata, semua lapisan masyarakat di negara ini berperanan memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan negara dengan semangat yang berkobar-kobar.

“Usah biar (bulan kemerdekaan negara) berlalu dengan lesu. Buktikan kita berbangga sebagai rakyat Malaysia dan amat menghargai kemerdekaan negara,” katanya. — Bernama