Tuesday, February 7

Mangsa kebakaran di Sentul terpaksa pindah: Tengku Adnan

0

KUALA LUMPUR: Mangsa kebakaran di Kampung Chubadak, Sentul bukan dipaksa berpindah dari pusat perlindungan, sebaliknya mereka terpaksa dipindah berikutan tempat itu ditempah lebih awal untuk majlis perkahwinan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata demikian ketika memperjelas isu yang dimuat dalam artikel Malaysiakini kelmarin bertajuk ‘Mangsa Kebakaran Dipaksa Pindah Dari Pusat Perlindungan, dan ‘Menteri Digesa Timbang Rayuan Mangsa Kebakaran’.

“Mangsa kebakaran di Kampung Chubadak ini, yang ditempatkan di Pusat Komuniti Taman Ibu Kota, terpaksa berpindah kerana tempat itu akan diguna untuk kenduri perkahwinan dan telah ditempah lebih awal. Pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) sebelum ini telah menawarkan rumah kepada mangsa tersebut di PPR (Projek Perumahan Rakyat) Bukit Jalil pada 13 Ogos yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kebakaran di Kampung Chubadak berlaku pada 8 Ogos lepas, ketika umat Islam mula menyambut Aidilfitri dan selang dua hari kemudian, Kampung Puah Bahagia pula terbakar, menyebabkan 31 rumah setinggan musnah.

Tengku Adnan berkata, semua keluarga mangsa kebakaran yang bersetuju untuk berpindah akan menerima sagu hati perpindahan sebanyak RM1,000 serta bantuan bencana RM300 daripada DBKL selain disediakan lori bagi membantu mereka berpindah ke PPR Bukit Jalil.

“Saya juga telah menyampaikan bantuan ihsan sebanyak RM500 dan pihak Yayasan Wilayah Persekutuan turut menyampaikan bantuan sebanyak RM300 kepada keluarga mangsa terlibat. Pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga telah menyampaikan bantuan sebanyak RM3,000 kepada keluarga mangsa terlibat,” katanya.

Tengku Adnan berkata, mangsa kebakaran yang setuju berpindah akan turut ditawar membeli rumah berkenaan dan pihak Yayasan Wilayah Persekutuan akan menyediakan kemudahan pinjaman bagi urusan pembelian.

“Rumah yang ditawarkan untuk disewa di PPR Bukit Jalil juga akan dipasang kemudahan elektrik dan air serta-merta, serta dikecualikan bayaran sewa selama tiga bulan.

“Bagi keluarga yang bersetuju untuk berpindah juga dan mempunyai masalah berkenaan persekolahan anak, pihak DBKL akan membantu menyediakan perkhidmatan bas dari PPR Bukit Jalil ke stesen LRT dan Monorel berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata DBKL akan mempertimbang untuk menyediakan rumah di kawasan berdekatan, jika terdapat kekosongan. — Bernama