Protokol diketepi bantu pihak amat memerlukan

0

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan bertindak secepat mungkin ke atas maklumat yang diterima mengenai individu atau keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, JKM sentiasa prihatin terhadap golongan yang memerlukan dan akan bertindak serta-merta tanpa sebarang protokol untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang amat memerlukan.

“Kita tidak mahu ada kes-kes yang membabitkan golongan yang memerlukan terpinggir akibat tiada maklumat yang diterima daripada orang ramai,” ujar Fatimah ketika mengunjungi rumah yang didiami sepasang warga emas di Kampung Tanjong, Petra Jaya semalam.

Mengiringi beliau ialah Pengarah JKM Noriah Ahmad, Ketua Kaum Kampung Tanjong Bokhari Enen serta para ahli Pergerakan Wanita PBB dari cawangan serta ranting berhampiran.

Penghuni rumah tersebut, Naim Li, 80, dan adiknya Zainah Ali, 76, sebelum ini mengadu tidak menerima Bantuan Orang Tua bulanan yang sepatutnya daripada JKM sejak beberapa bulan lalu.

Setelah diperiksa, didapati bantuan tersebut sememangnya disalurkan cuma tidak sampai kepada Naim disyaki angkara kenalan mereka yang bertanggungjawab mengeluarkan wang untuk mereka setiap bulan.

Semasa berada di situ, Fatimah menjelaskan kepada kedua-duanya mengenai keadaan sebenar serta menasihatkan mereka agar membuka akaun bank yang baharu serta melantik individu yang dipercayai untuk membantu mereka mengeluarkan wang tersebut nanti.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kepada para ahli Pergerakan Wanita PBB yang hadir supaya mengadakan program gotong-royong membersihkan kawasan rumah pasangan warga emas tersebut bagi memastikan mereka hidup dalam keadaan bersih, sihat dan selamat.

Pada masa sama, Fatimah menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada pasangan tersebut serta membawa mereka ke klinik berdekatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan selepas itu.

Beliau turut memberitahu bahawa Naim dan Zainah bernasib baik kerana penduduk di kampung tersebut amat prihatin terhadap jiran tetangganya dengan membantu menyalurkan maklumat mengenai keadaan mereka kepada pihak JKM baru-baru ini.