Rakyat perlu dalami erti sebenar kemerdekaan

0

MERIAH: Sebahagian daripada wakil agensi kerajaan, swasta dan NGO di lobi Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri, Jalan Beletih Kapit, malam kelmarin.

KUCHING: Rakyat berbilang kaum di negeri ini diseru mendalami dan menghayati erti sebenar kemerdekaan.

Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan berkata, sebahagian besar generasi pada hari ini merupakan golongan yang lahir selepas kemerdekaan iaitu 31 Ogos 1957 menyebabkan golongan itu kurang memahami keperitan perjuangan orang terdahulu dalam membebaskan tanah air daripada penjajah.

“Adalah sukar bagi golongan baharu yang lahir selepas kemerdekaan berasa keperitan dan kepayahan kehidupan di zaman penjajahan dan kesusahan yang dialami masyarakat terdahulu untuk mengecapi kemerdekaan tanah air.

“Oleh itu, kita harus bersyukur dan berterima kasih menghayati erti sebenar kemerdekaan serta mengimbau kembali perjuangan pemimpin terdahulu kerana atas perjuangan mereka kemerdekaan dapat dicapai dan dinikmati oleh semua rakyat Malaysia hingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Bahagian Kuching di Tebingan Kuching di sini, malam kelmarin.

Mawan, menteri yang bertanggungjawab bagi sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri, turut mengajak rakyat di negeri ini mengekalkan perpaduan yang sedia ada bagi memastikan kedaulatan dan keamanan terus terpelihara.

Di SERIAN, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata Malaysia tidak harus mengikut bayang-bayang negara lain, sebaliknya bersaing untuk menjadi negara yang terbaik.

“Kita tidak akan berhenti setakat ini, anak dan cucu kita perlu disemai semangat kekitaan, boleh berjuang dan rasa sayang kepada negara.

“Perlu ada rasa terima kasih kepada pejuang-pejuang dan pemimpin masa lampau.

Jika dibandingkan negara lain, banyak pertumpahan darah berlaku sebelum mereka mendapat kemerdekaan,” katanya ketika merasmikan majlis sama peringkat Bahagian Samarahan, malam kelmarin.

Justeru itu, katanya, mengibarkan Jalur Gemilang adalah cara rakyat untuk menunjuk rasa terima kasih dan penghargaan bukan sahaja kepada pemimpin tetapi kepada negara.

“Mulai 17 Ogos hingga 16 September, kibarkan Jalur Gemilang di seluruh kawasan Samarahan, Asajaya, Simunjan dan Serian,” tegasnya.

Sebelum ini, jelasnya, Sarawak pernah diperintah oleh Sultan Brunei pada 1839, seterusnya ‘The White Rajahs’ selama 100 tahun sehingga 1939, dijajah British, Jepun dan British semula sebelum mendapat kemerdekaan pada 22 Julai 1963.

Sarawak menyertai Tanah Melayu pada 16 September 1963 dan merdeka selama 50 tahun.

Di MIRI, Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin berkata generasi muda harus menghargai pengorbanan dan menginsafi keperitan pejuang-pejuang dahulu dalam menuntut kemerdekaan.

Beliau berkata, dengan kemerdekaan yang dituntut oleh tokoh-tokoh dan pengorbanan yang dilakukan oleh pejuang tanah air, rakyat dapat menikmati hasil kejayaan pada hari ini.

Beliau memberitahu, sepanjang 56 tahun Malaysia merdeka, banyak kejayaan telah Malaysia kecapi hasil daripada pelbagai pendekatan yang digunakan oleh pucuk pimpinan negara bagi meringankan bebanan rakyat.

“Pelbagai projek pembangunan telah dilaksanakan dengan sistematik bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

Selain projek pembangunan, kerajaan juga memperkenalkan pelbagai dasar dalam meningkatkan ekonomi.

“Selain itu, pelbagai bantuan telah dihulurkan oleh kerajaan kepada rakyat untuk kesejahteraan antaranya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) RM500, Klinik 1Malaysia, Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia, bantuan persekolahan, Teksi Rakyat 1Malaysia dan Bantuan Tangki 1Malaysia,” katanya berucap pada majlis di Dewan Suarah Miri, malam kelmarin.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menambah, rakyat harus berasa bangga dan bersyukur kerana negara masih utuh dan mengekalkan kedaulatan sehingga kedaulatan yang dinikmati hari ini membolehkan negara terus membangun dengan pesat.

SEMANGAT PATRIOTIK: Masir serta yang lain mengibarkan Jalur Gemilang pada majlis di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman, malam kelmarin.

Di SIBU, Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh berkata, rakyat Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab penting bagi memastikan pembangunan negara terus berkembang menjadi sebuah negara yang kukuh.

Menurut beliau, rakyat harus berbangga melihat transformasi negara dari aspek ekonomi, sosial dan politik.

“Marilah kita bersama-sama menghargai pembangunan yang dinikmati sejak negara kita merdeka agar negara terus berkembang menjadi sebuah negara yang kukuh,” ujarnya pada majlis di Pintu Gerbang Sibu, malam kelmarin.

Katanya lagi, mengibarkan bendera sempena sambutan Hari Kebangsaan merupakan salah satu cara rakyat Malaysia menunjukkan semangat cinta akan negara.

“Bagaimanapun, harus diingatkan semangat patriotik bukan hanya ditunjukkan dengan mengibarkan bendera sempena sambutan Hari Kebangsaan.

“Rakyat boleh menunjukkan rasa cinta akan negara menerusi perkara yang mudah dengan memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih dan kemas,” ujar beliau.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua itu berkata, rakyat perlu saling hormatmenghormati, membantu dan mengeratkan semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang, bangsa, kaum dan agama.

“Dalam erti kata lain, semangat patriotik bermakna kita menjadi rakyat yang bertanggungjawab, jiran yang bertimbang rasa dan penyayang antara satu sama lain serta membantu golongan yang memerlukan bantuan,” katanya lagi.

Di SRI AMAN, Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat menyeru semangat patriotik disemai di kalangan rakyat bermula di peringkat kanak-kanak lagi.

Menurut beliau, generasi muda harus diberi penjelasan tentang maksud sebenar patriotisme agar mereka mengambil berat tentang keamanan dan kemajuan negara.

“Kita mahu, generasi muda memahami perkara ini kerana kita tidak mahu semangat tersebut luntur begitu sahaja tanpa diberi perhatian serius.

“Adalah perlu bagi generasi muda mengetahui serba sedikit perjuangan para pemimpin negara terdahulu yang banyak berkorban untuk memerdekakan negara sehingga kita dapat hidup dengan senang hari ini,” ujarnya ketika berucap pada majlis di Tebingan Sungai Batang Lupar, Sri Aman malam kelmarin.

Masir berkata, usaha untuk menyemai dan memupuk semangat cintakan tanah air di kalangan generasi muda perlu terutamanya bagi membangkitkan semangat patriotik yang banyak memerlukan kegigihan, kesungguhan dan ketekunan.

“Penghayatan erti kemerdekaan mahupun Hari Malaysia di kalangan generasi muda berperlu dilaksanakan secara berterusan dari tahun ke tahun supaya semangat cintakan tanah air tidak terhakis.

“Nilai cintakan tanah air harus diterapkan sejak dari bangku sekolah lagi.

Ini kerana generasi muda inilah yang bakal menggantikan pemimpin negara pada masa hadapan,” jelasnya.

Di BINTULU, Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakub Kari pada majlis di pekarangan Wisma Residen Bintulu malam kelmarin menyeru penduduk tempatan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing termasuk pejabat dan premis niaga bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan.

Jelasnya, langkah itu penting bagi menyemai semangat cintakan negara dan mensyukuri nikmat yang diperolehi sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

“Penduduk di negeri ini khususnya masyarakat di Bintulu harus memahami serta menghayati erti kemerdekaan itu sendiri dan bukan sekadar mengingatinya dengan sambutan besar-besaran dan menghabiskan cuti umum sehari yang diberikan untuk berseronok sahaja,” ujarnya.

Paling penting, katanya, penduduk segenap lapisan masyarakat harus menunjukkan rasa cintakan tanah air dengan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dalam usaha mengukuhkan lagi semangat patriotik yang ada dalam diri mereka.

“Bagi kebanyakan generasi pascakemerdekaan, walaupun kita tidak merasai perit getir kesengsaraan dalam menuntut kemerdekaan sebagaimana dirasai oleh pejuang terdahulu, tetapi kita harus berazam untuk terus mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi selama ini,” jelasnya.

Harus diingat, katanya, kemerdekaan bagi sesebuah negara merupakan sesuatu yang cukup istimewa setelah negara bebas daripada cengkaman penjajah.

“Atas dasar itulah, generasi muda sekarang boleh bertanya atau membaca kisah-kisah pejuang terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan yang mana dikaitkan dengan seribu macam kesengsaraan yang sukar untuk digambarkan.

“Melalui maklumat yang diperoleh ini secara tidak langsung membuka mata generasi muda di negara ini untuk terus mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi selama ini sampai bila-bila,” jelas Muhamad Yakub.

Sementara itu di SARIKEI, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) dan Menteri Muda Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh menyeru rakyat agar mengambil iktibar daripada pergolakan yang berlaku di beberapa negara dunia, khasnya Mesir ketika ini bagi memastikan keamanan negara berkekalan.

Beliau berkata, semua masalah itu berpunca daripada pengabaian konsep utama dalam pentadbiran negara mereka serta rakyat yang tidak mensyukuri nikmat pembangunan, kemajuan serta nilai kemerdekaan yang telah dicapai.

“Pembangunan, kemajuan dan perkembangan semasa, kebiasaannya telah banyak menyebabkan rakyat lalai dengan isu yang sepatutnya mereka pertahankan pada setiap saat kehidupan mereka.

“Pada masa sama, kebanyakan mereka menganggap perkara tersebut sebagai remeh.

Sebaliknya, kita perlu menyemai dalam jiwa serta minda kita agar sentiasa mensyukuri warisan kemerdekaan, menghayati lambang negara, memupuk patriotisme dan memahami bahawa perpaduan adalah tunjang kestabilan negara,” ujar Len ketika majlis di Dewan Suarah Sarikei, malam kelmarin.

Beliau berkata, antara pendekatan yang digunakan oleh kerajaan untuk memperkukuhkan perpaduan ialah penganjuran majlis atau program melibatkan penyertaan semua pihak, tanpa mengira status dan pegangan agama.

“Contohnya, perhimpunan seperti yang kita anjurkan pada malam ini (malam kelmarin).

Perhimpunan seumpama ini penting sebagai program yang menyedarkan kita semua agar tidak melupakan rasa cintakan tanah air dan seterusnya menghargai kebebasan yang telah kita kecapi bersama selama ini.

“Perhimpunan seperti ini juga tempat untuk kita menghargai tanah air yang telah diwariskan kepada kita, yang aman dan makmur serta memberi kesejahteraan kepada penduduknya yang berbilang kaum, agama, budaya serta tanpa mengira fahaman politik,” ujar Len lagi.

Di KAPIT, Ahli Parlimen Hulu Rajang Wilson Ugak Kumbong ketika berucap merasmikan majlis di lobi Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri, Jalan Beletih berkata setiap rakyat Malaysia harus memikul amanah dan tanggungjawab bagi memastikan Malaysia sentiasa bebas daripada ancaman anasir luar.

“Kemerdekaan yang kita nikmati ini perlu diwarisi dari generasi ke generasi supaya mereka dapat menikmati nikmat kemerdekaan secara berterusan serta tidak akan dijajah kali kedua baik dari segi fizikal mahupun minda,” katanya.

Ugak berkata, rakyat Malaysia tidak harus alpa terhadap erti kemerdekaan sebenar, sebaliknya menjadikannya sebagai teras membentuk negara yang kompetitif.

“Namun begitu, matlamat menuju negara maju tidak boleh dicapai tanpa perpaduan kaum, sikap toleransi dan kefahaman setiap individu.

Ini merupakan faktor utama bagi membolehkan rakyat tinggal di negara yang harmoni, sejahtera, bebas dan berdaulat,” jelasnya.

Menurut beliau, sejak mengecapi kemerdekaan, negara telah membangun dengan begitu pesat, kukuh dari segi sosioekonomi dan perpaduan kaum yang menjadi kunci kepada keutuhan kemerdekaan.

“Misalnya, aspek pendidikan terus diperkasa.

Sebelum merdeka, tahap kedudukan sosioekonomi penduduk Malaysia berada dalam keadaan daif dan ketinggalan.

“Pada ketika itu, keadaan bangunan sekolah dan infrastruktur lain serba kekurangan berbanding sekarang di mana sekolah-sekolah dilengkapi bangunan serta pelbagai peralatan moden dan canggih,” jelasnya.

Tahun ini, tema kemerdekaan yang dipilih ialah ‘Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku.’