Fenomena hujan batu menggemparkan penduduk

0

AIS: Ketulan ais yang jatuh bersama hujan lebat yang turun di Sibu, petang kelmarin.

SIBU: Fenomena hujan batu telah menggemparkan penduduk di Jalan Camar dan Brooke Drive di sini, petang kelmarin (Ahad).

Menurut sumber di tempat kejadian, sebelum itu cuaca dari pagi hingga jam 4 petang sangat panas dan sekitar jam 5 petang cuaca berubah bertukar menjadi mendung.

“Cuaca mendung telah menggelapkan keadaan dan terus hujan dengan lebat sambil disertai bunyi guruh dan angin kencang.

“Pada masa itu, air hujan telah membuatkan bahagian atap dan bumbung rumah kami berbunyi dengan kuat dan ia betul-betul menunjukkan hujan yang luar biasa.

“Bunyi atap rumah kami seolah-olah seperti dilempar dengan batu dan ia sangat menakutkan. Setelah diperiksa serta dilihat baharu kami sedar bahawa air hujan yang turun sangat luar biasa dan menghasilkan air batu (ais) yang berketul-ketul,” katanya.

Beliau memberitahu, fenomena itu berlarutan sehingga lima ke 10 minit dan jelas menunjukkan air hujan yang turun adalah air batu (ais).

“Inilah kali pertama saya melihat air hujan yang turun menghasilkan ketulan ais.

“Saiz ais yang turun dianggarkan sebesar ais seperti dalam minuman yang biasa kita minum di kedai kopi.

“Ada juga ketulannya agak besar dan setelah jatuh ke bumi ketulan itu cair dan bertukar menjadi air,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu tiada kerosakan atap atau bumbung rumah disebabkan fenomena terbabit.

Serentak dengan kejadian itu, beberapa bumbung kedai di Jalan Market (tapak pasar malam lama) turut diterbangkan angin kencang akibat hujan lebat turun pada masa yang sama.

Bumbung rumah kedai berkenaan jatuh menjunam ke bawah dan ditiup angin sejauh 10 hingga 30 meter.

Di hadapan bangunan kedai terbabit adalah tempat meletak kereta yang dahulunya tempat pasar malam lama.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dan kerosakan kereta dilaporkan.

Fenomen yang melanda itu tidaklah dapat dipastikan sama ada disebabkan hujan batu atau hujan lebat sahaja.