GST belum dilaksana kerana belum difahami

0

KUCHING: Ketidaksediaan kerajaan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah disebabkan oleh kurangnya kesedaran serta pemahaman orang ramai mengenai sistem percukaian tersebut.

Timbalan Pengarah Kastam Negeri Ahmad Jii memberitahu bahawa pelaksanaan GST adalah penting kerana ia akan melebarkan asas cukai langsung sedia ada dan mengurangkan defisit negara.

“Publisiti mengenai GST amat penting untuk memastikan semua lapisan masyarakat terutama sektor perniagaan dan pengguna dapat bersedia serta memperolehi pengetahuan serta pemahaman GST yang betul,” ujar Ahmad ketika merasmikan Seminar GST di sebuah hotel di sini semalam.

Seramai 500 orang terdiri daripada wakil jabatan serta agensi persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan dan dewan perdagangan hadir pada seminar selama dua hari bertujuan memberi kesedaran serta pemahaman mengenai GST.

Seminar tersebut merupakan anjuran bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Unit Perancang Negeri Pejabat Ketua Menteri.

“Kerajaan sebelum ini bercadang untuk melaksanakan GST dalam Belanjawan 2005 tetapi terpaksa menangguhnya kerana mendapati sektor perniagaan dan rakyat belum bersedia menerimanya.

“Pada tahun ini, program kesedaran GST akan menjadi agenda utama jabatan sehingga pelaksanaannya diumumkan kerajaan nanti,” jelas Ahmad.

Beliau memberitahu, jabatannya juga telah mengadakan beberapa sesi perhubungan awam GST dengan para pengguna, industri dan wakil rakyat kerajaan negeri sejak 2010.

“Cabaran jabatan kami sekarang ialah ramai orang kurang memahami serta tidak mengetahui GST dan faedahnya.

“Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2009 (RUU GST) telah dibentang untuk bacaan kali pertama pada 16 Disember 2009 dan berpandukan indikator dalam Belanjawan 2012 serta perkembangan ekonomi semasa, GST kian mendekati orang ramai serta para peniaga,” tambah Ahmad.

Menurutnya, jika sesuatu perkara dapat difahami sepenuhnya, maka terbukalah ruang yang luas untuk menerima perkara yang baharu seperti GST.

“Penganjuran seminar seperti hari ini adalah tepat pada masanya dalam meneruskan usaha perhubungan awam GST bagi mengelakkan penjelasan daripada sumber yang kurang tepat,” tegas Ahmad.