Isu bekalan air Selangor dijangka selesai tiga bulan: Ongkili

0

PUTRAJAYA: Masalah pembekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Bagaimanapun katanya isu itu dapat menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat sekiranya kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor mencapai persetujuan dalam pelbagai perkara dan saling bertolak ansur.

“Memang kita semua ingin selesaikan dalam masa terdekat, tidak melebihi tiga bulan. Kerajaan pusat sebelum ini telah mengemukakan cadangan-cadangan bagaimana untuk selesaikan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis dialog bersama pihak industri berkaitan kementerian ber-kenaan di sini semalam.

Ongkili berkata kerajaan juga menerima cadangan terperinci daripada kerajaan Selangor berhubung proses penstrukturan semula industri pembekalan air di Selangor, sejak enam minggu lepas.

“Semalam (kelmarin) jawatankuasa kabinet telah bermesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan selepas ini akan dilapor kepada kabinet mengenai res-pons kita kepada cadangan-cadangan kerajaan  Selangor,” katanya.

Ongkili berkata rundingan seterusnya bersama kerajaan negeri Selangor akan dilaksanakan selepas itu.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya telah menerima surat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertarikh 19 Jun lepas menyatakan beliau sangat terbuka dan bersedia berbincang bagi menyelesaikan penstrukturan semula bekalan air seperti dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Ditanya langkah yang akan diambil sekiranya isu itu masih menemui jalan buntu, Ongkili berkata kerajaan Persekutuan mempunyai undang-undang yang boleh diambil demi menjamin bekalan air mencukupi dan selamat.

Bagaimanapun, katanya kerajaan seboleh-bolehnya ingin menyelesaikan isu ber-kenaan secara rundingan sebelum menggunakan pendekatan undang-undang.

Dalam perkembangan lain, Ongkili berkata sehingga 30 Jun lepas, sebanyak 2,306 permohonan untuk penjanaan tenaga boleh diperbaharui telah diterima, sejak Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) di-tubuhkan akhir tahun lepas.

Bagaimanapun, hanya 1,644 permohonan dilulus-kan, katanya. — Bernama