Sampah perlu dipungut segera untuk elak penularan penyakit

0

KOTA BAHARU: Pihak berkuasa tempatan diminta segera memungut sampah yang dilonggokkan di tempat pembuangan sampah terutama pada musim perayaan bagi mengelak penularan penyakit berjangkit.

Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata longgokan sampah dikesan menjadi punca pembiakan tikus dan nyamuk yang menyebarkan penyakit seperti penyakit kencing tikus dan demam denggi.

“Ketika musim pe-rayaan, kita dapat lihat longgokan sampah ada di merata-rata tempat dan plastik sampah tidak diikat dengan kemas.

“Kita amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan yang akan mengutip sampah untuk dibawa ke tapak pelupusan dengan segera bagi mengelak penula-ran pelbagai penyakit,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Merdeka ke-56 dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, semalam.

Tujuh kematian direkodkan daripada 122 kes jangkitan virus kencing tikus yang dilaporkan di Kelantan sehingga 10 Jun lepas, sekali gus memperlihatkan peningkatan berbanding tahun 2011 dan 2012.

Pada 2011 daripada 276 kes, hanya satu kematian manakala pada tahun lepas daripada 186 kes, empat kematian dilaporkan. — Bernama