Setiausaha Pertahanan AS lawat M’sia Sabtu ini

0

KUALA LUMPUR: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Charles Timothy “Chuck” Hagel akan mengadakan lawatan tiga hari ke Malaysia bermula Sabtu ini.

Menurut kenyataan media Kedutaan AS di sini, Hagel akan berada di Kuala Lumpur dari 24 hingga 26 Ogos ini dan lawatan itu merupakan sebahagian daripada program kunjungannya ke empat negara di Asia Tenggara.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan program Hagel sepanjang berada di ibu negara.

Menurut kenyataan itu, Hagel akan memulakan perjalanan di Honolulu, Hawaii, bagi berjumpa Komander US Pacific Command (PACOM) Laksamana Samuel J. Locklear III serta melawat pasukan marin AS di Teluk Kaneohe.

Beliau kemudian terbang ke Kuala Lumpur sebelum ke Jakarta, Indonesia dan kemudian ke Brunei untuk bertemu dengan menteri-menteri pertahanan Asean yang berkumpul sempena wacana harmoni tahunan mereka pada 28 Ogos.

Hagel dijadualkan menyertai Mesyuarat Menteri Pertahanan Aean Plus (ADMM-Plus) pada 29 Ogos.

Beliau akan menamatkan lawatan ke Asia Tenggara di Manila, Filipina pada 29 Ogos sebelum kembali ke Washington pada 30 Ogos. — Bernama

Hagel mengangkat sumpah sebagai Setiausaha Pertahanan ke-24 pada 27 Feb lepas dan merupakan veteran tentera tempur pertama mengetuai jabatan itu. — Bernama