Dua lelaki didenda kerana gagal kemuka MyKad ketika diminta polis

0

KUCHING: Dua lelaki didenda RM600 atau lapan hari penjara akibat gagal mengemukakan MyKad mereka ketika diminta polis.

Then Seng Huat, 43, dan Chieng Kiew Lee, 44, mengaku bersalah di hadapan Majistret Zulhairil Sulaiman semalam dan dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 25 (1)(0) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 bagi kesalahan yang telah dilakukan.

Menurut fakta kes, kedua-dua tertuduh ditahan oleh sepasukan polis yang sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap satu kes kecurian di hadapan sebuah kedai runcit di Taman Duranda Emas, Jalan Kuching-Serian baru-baru ini.

Ketika kejadian, kedua-dua lelaki terbabit yang berada di tempat kejadian dalam keadaan mencurigakan dan mundar-mandir di sekitar premis sebelum ditahan pihak polis yang meminta identiti pengenalan mereka sebelum kedua-duanya gagal berbuat demikian.

Kesalahan terbabit dikenal pasti dilakukan sekitar jam 3.30 pagi pada 14 Ogos lalu.

Dalam mahkamah sama, seorang lelaki berusia 26 tahun dari Kampung Lintang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ugutan jenayah.

Majistret Zulhairil mengarahkan Mohamad Izuan Syah Saman dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 oleh seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes yang ditetapkan pada 24 September depan.

Izuan didakwa mengamuk di rumahnya sebelum mengancam untuk membunuh ahli keluarganya dengan menggunakan pisau.

Beliau juga dikatakan telah menendang dinding bilik tidur, mencabut langsir dan membaling kerusi ke arah ruang tamu serta mencederakan seorang saudara lelakinya yang berusia 46 tahun dengan menggunakan pisau sepanjang lapan inci.

Izuan didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 16 Ogos lalu sekitar jam 7.30 pagi.

Kesalahan ugutan jenayah, di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Inspektor Austin Patrick Angkon merupakan pendakwa untuk kedua-dua kes terbabit.