Festival Makanan dan Kebudayaan, Ekspo Satu Daerah Satu Industri, 6-9 September

0

KUCHING: Festival Makanan dan Kebudayaan serta Ekspo Satu Daerah Satu Industri yang akan diadakan serentak dengan Regata Sarawak 2013 pada 6 hingga 9 September ini bakal mempamerkan produk-produk tempatan seperti makanan dan kraf daripada 13 negeri.

Menurut Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais, konsep program itu adalah sama seperti tahun-tahun sebelumnya cuma tahun ini ia banyak melibatkan negeri-negeri lain sempena Sambutan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia.

“Sambil menyaksikan regata yang akan menyajikan lumba perahu dan perahu naga, orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung dan menikmati pelbagai jenis makanan istimewa dan produk kraf berkualiti yang dijual pada program itu.

“Berdasarkan trend tahun-tahun lepas, kita kali ini menyasarkan kira-kira 200,000 atau 300,000 pengunjung merangkumi pelancong asing yang datang menyaksikan regata,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.

Naroden berkata acara itu yang melibatkan negeri-negeri lain akan diteruskan pada tahun depan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan malah kerajaan juga berkemungkinan akan menarik negara-negara ASEAN lain untuk memeriahkan lagi festival tersebut.

Sarawak akan menampilkan laksa Sarawak, mi kolok, umai, dabai, ayam pansoh dan bubur pedas pada festival makanan itu nanti.

Manakala negeri lain, seperti Terengganu akan mempamer dan menjual produk popular negeri itu seperti nasi dagang dan keropok lekor.

Promosi Kraf Malaysia pula katanya, akan mempamer dan menjual produk kraf unik dan berkualiti daripada beberapa negeri lain, daripada produk kraf tangan masyarakat Penan di Ulu Baram hinggalah kepada produk-produk kraf tangan dari negeri Kelantan dan Terengganu yang terkenal dengan pembuatan batik serta hiasan kraf.

Acara seperti Promosi Kraf Malaysia akan disertai 72 pengusaha kraf dari seluruh Malaysia seperti dari Selangor, Kelantan, Terengganu dan Melaka.

“Selain daripada aktiviti promosi dan jualan, antara acara-acara lain dijalankan semasa berlangsungnya program ini adalah seperti demonstrasi masakan dan pembuatan kraf tangan, kursus keusahawanan dan padanan perniagaan,” kata-nya.