Gara-gara terlepas satu das tembakan, pengawal ditahan

0

MIRI: Seorang pengawal keselamatan di sebuah bank di sini ditahan polis selepas dia dilaporkan melepaskan satu das tembakan secara tidak sengaja ketika hendak memulakan tugas hariannya di bank berkenaan.

Kejadian berlaku pada jam 11.30 pagi kelmarin, ketika pengawal keselamatan tersebut memulakan tugas rutinnya seperti biasa di bank berkenaan yang terletak di Pusat Komersial Centre Point di sini.

Sedang dia melakukan pemeriksaan seperti biasa ke atas senjata apinya, tiba-tiba tanpa sengaja pengawal terbabit telah melepaskan satu das tembakan yang bukan sahaja mengejutkan dianya sendiri tetapi hampir terkena seorang kakitangan bank yang sedang bertugas.

Tembakan tersebut yang terkena salah satu dinding di dalam bangunan bank berkenaan telah menyebabkan lubang, kesan daripada serpihan peluru yang dilepaskan.

Pengurus cawangan bank berkenan kemudian melaporkan kejadian tersebut di Balai Polis Pusat Miri di sini pada jam 6.30 petang hari yang sama.

Pada jam 8.30 malam kelmarin, polis menahan pengawal keselamatan terbabit untuk disoal siasat.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mun Kock Keong yang mengesahkan laporan itu memberitahu, polis terpaksa menahan pengawal terbabit kerana kecuaiannya hingga terlepas das tembakan daripada senjata api tersebut.

“Kami terpaksa menahan dia kerana kecuaiannya dan tindakan melepaskan tembakan secara sembarangan adalah menyalahi undang-undang.

“Polis akan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 39, Akta Senjata Api 1960,” jelas Mun.