Pembatalan lesen memandu dapat pelbagai reaksi

0

KUCHING: Keputusan membatalkan lesen memandu individu yang disenarai hitam kerana degil membayar saman trafik mendapat pandangan berbeza daripada masyarakat.

Tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati ada yang kurang setuju dengan tindakan yang bakal diambil Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dan ada juga yang menyokong tetapi bersyarat.

Pereka Bundai, 35, dari Lundu berkata, hanya polis boleh membatalkan lesen memandu individu yang di-senarai hitam kerana kedegilan mereka membayar saman jika kesalahan dilakukan berat sehingga menyebabkan kematian atau kecacatan kekal kepada pengguna jalan raya yang lain.

Beliau menambah dalam hal ini, polis khasnya harus memberi peluang kedua kepada individu yang liat membayar saman atas kesalahan trafik kecil dengan memberi amaran keras agar berbuat demikian.

“Kita tidak membantah jika tindakan itu diambil ke atas pesalah trafik yang berat seperti menyebabkan kematian atau pemandu kenderaan awam didapati mabuk dan positif dadah.

“Cuma kalau tindakan membatalkan lesen memandu individu enggan membayar saman mereka atas kesalahan kecil, bagi saya peluang kedua perlu diberi dan jika mereka tetap berdegil selepas amaran akhir diberi, baharulah lesen mereka dibatalkan,” katanya.

Menurutnya lagi ada kemungkinan individu yang tidak menjelaskan saman mereka atas faktor tidak tahu kerana saman lazimnya seperti memandu melebihi had laju ditetapkan atau cermin gelap yang dirakam menggunakan kamera pihak berkuasa dihantar menggunakan pos tidak sampai ke alamat ditujukan.

“Kita berharap pihak bertanggungjawab akan melihat perkara ini dengan lebih teliti, mengambil kira pelbagai aspek sebelum ia dikuatkuasakan,” katanya.

Pegawai Bank Falora Ambi, 34, pula mahu tindakan yang diambil setimpal dengan kesalahan dilakukan.

“Bergantung kepada jenis kesalahanlah… kalau kesalahan berat, tindakan polis itu adalah wajar. Jika kesalahan kecil bagi saya individu itu harus diberi peluang,” katanya ringkas.

Falora dalam pada itu mencadangkan agar program mendidik dan memberi kesedaran mesti dilakukan terutama melibatkan penunggang motosikal.

“Penguatkuasaan sahaja tidak dapat memastikan jumlah kemalangan maut dapat ditangani jika aspek pendidikan diabaikan. Semua ini berkaitan dengan sikap,” tambahnya.

Ng Chun Jian, 22, seorang pekerja swasta berkata amaran lebih keras mesti diberikan kepada individu terbabit sebagai memberi peluang kepadanya untuk menjelaskan saman-saman tertunggak dengan had masa ditetapkan.

“Kalau saman seperti meletakkan kenderaan di tempat dilarang, cermin gelap dan tidak memakai tali keledar saya rasa mereka ini harus diberi peluang terakhir agar menjelaskan saman mereka mengikut tempoh masa diberikan.

“Kalau individu itu terus ingkar, mungkin tindakan membatalkan lesen memandu mereka boleh dilakukan,” kata Ng.

Ronald Rojis, 22 bertugas dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula berkata beliau bersikap neutral berhubung perkara itu kerana berpendapat, seseorang itu dapat mengelak daripada melakukan kesalahan trafik jika berdisiplin ketika memandu dan bertimbang rasa dengan pengguna jalan raya yang lain.

“Saya percaya kalau kita memandu dengan berdisiplin, berhemah dan mematuhi undang-undang sedia ada, melakukan kesalahan trafik dapat dielakkan atau dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata tindakan membatalkan lesen memandu individu yang liat membayar saman mereka kalau dilaksanakan haruslah menyeluruh dan bukan sahaja melibatkan penunggang motosikal serta pemandu kenderaan awam.