Taib jangka kesinambungan kepimpinan baik pada persidangan PBB Oktober depan
KUCHING: Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, tiada pengumuman besar akan dibuat pada Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali parti itu Oktober depan.
Taib yang menerajui PBB sejak 26 Mac 1981 turut menafikan bahawa beliau mungkin memilih persidangan itu untuk membayangkan siapa bakal pengganti beliau.
“Tidak ada pengumuman besar kerana kami dan semua mereka dalam PBB adalah dari kalangan individu yang senantiasa bertenang,” kata Ketua Menteri selepas melancarkan Pusat Sumber dan Maklumat (IRC) Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak di lobi Wisma Bapa Malaysia semalam.
Ditanya mengenai jangkaan daripada persidangan yang bakal berlangsung dari 18 hingga 20 Oktober depan, Taib berkata PBB sebagai sebuah parti yang kukuh sedang melakukan persiapan bagi masa depan.
Beliau turut menjangka kesinambungan kepimpinan yang baik dalam PBB pada persidangan itu kelak.
“Anda boleh menjangkakan, persidangan PBB kali ini bakal menyaksikan sebuah parti yang kuat sedang bersiap sedia untuk masa depan dan kesinambungan kepimpinan yang baik,” ujarnya.
PBB ditubuh berikutan penggabungan Parti Bumiputra dan Parti Pesaka pada Januari 1973.
Dalam sejarah parti itu, tiada siapa yang pernah mencabar Presiden parti dan kebanyakan kedudukan tertinggi tidak ditandingi, kecuali dalam dua peristiwa iaitu pada 1998 dan 2005, tetapi ia hanya membabitkan jawatan Timbalan Presiden.
Terdahulu, ketika melancarkan IRC Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, Taib berkata pusat itu akan menjadi platform untuk masyarakat mendapatkan maklumat yang tepat mengenai dasar dan polisi kerajaan.
Beliau berkata, pusat itu juga menyediakan gambaran yang tepat mengenai usaha yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan.
Secara tidak langsung, menurut Taib, ia akan mengubah persepsi negatif ma-syarakat terhadap perkhidmatan awam dan mengelak daripada timbulnya andainya buruk ke atas usaha kerajaan dalam membangunkan negeri, khususnya dalam kalangan warga asing.
“Dengan wujudnya IRC ini di pusat pentadbiran kerajaan Sarawak, sudah pasti ia akan memberikan sedikit gambaran mengenai Sarawak kepada pihak-pihak atau individu tertentu sebelum mereka bermesyuarat bersama kita di bangunan ini.
“Untuk warga asing, ia merupakan peluang yang baik untuk mereka mendapatkan maklumat yang tepat mengenai kerajaan yang berurusan dengan mereka dan mengenal pasti apa yang sesuai kepada mereka untuk turut serta dalam pembangunan di negeri ini,” katanya.
Tambah Taib, perkongsian maklumat adalah penting untuk masyarakat umum mendapatkan saluran dan individu yang tepat untuk mereka berurusan terutama membabitkan urusan berkaitan kerajaan.
Oleh kerana masyarakat kini semakin berpendidikan, ujarnya, perkhidmatan awam menjadi lebih sofistikated sehingga mendorong kepada proses pembangunan yang lebih sofistikated berbanding masa dahulu.
“IRC menjadi semakin popular dalam sektor swasta dan kebanyakan syarikat-syarikat besar cenderung untuk memiliki IRC di tempat yang dibuka kepada orang awam.
“Saya dapati ia lebih mudah untuk berkunjung ke syarikat-syarikat besar kerana diberikan penerangan yang ringkas dan padat mengenai apa yang mereka lakukan serta gambaran mengenai hala tuju masa depan mereka.
“Pengalaman ini mungkin telah disedari oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani sehingga mendorong beliau untuk memperkenalkan inisiatif yang sama di peringkat perkhidmatan awam,” ujarnya.
Taib turut menyifatkan pelancaran IRC itu sebagai pemulaan baharu kepada perkhidmatan awam dalam berurusan dengan orang awam yang semakin berpendidikan dan berharap pendekatan itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Beliau turut berterima kasih kepada pegawai-pegawai kerajaan khasnya Setiausaha Kerajaan Negeri atas usaha berterusan untuk merapatkan lagi perkhidmatan awam dengan semua pihak.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing, Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin serta yang lain.