KUCHING: Sebuah keluarga di Kampung Selarat, Sematan, dekat sini hidup ibarat menumpang di negara sendiri.
Terbiar dalam belenggu kemiskinan, keluarga ini tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana pihak apatah lagi perhatian daripada pihak berwajib.
Chaw Choon Kee, 47, yang ditinggalkan suami sejak enam tahun lalu kini tinggal bersama dua anak, Foo Kuet Moi, 15, dan Foo Kuet Choi, 13, di dalam sebuah pondok buruk yang boleh rebah menyembah bumi pada bila-bila masa sahaja.
Setiap kali hujan turun, anak-beranak ini terpaksa tidur dalam kebasahan akibat atap bocor.
Dibina daripada bahan buangan, di pondok kecil itulah tempat tiga beranak itu masak, makan dan tidur.
Sejak ditinggalkan suami, Choon Kee bekerja sebagai pengutip biji sawit di ladang sawit berdekatan.
Dengan harga 15 sen sekilo, dia hanya mampu memperolehi pendapatan kurang daripada RM20 sehari.
Bagaimanapun pendapatan itu hanya ada pada musim menuai sawit sahaja.
Setelah menerima maklumat berhubung kedaifan keluarga itu daripada ahli-ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sematan, Ahli Jawatankuasa DAP Sarawak Mordi Bimol segera melawat keluarga berkenaan.
Dalam lawatan tersebut, Mordi memberi sedikit sumbangan dalam bentuk makanan bagi meringankan beban keluarga berkenaan dan membantu mereka mengisi borang permohonan bantuan kebajikan.
“Saya pernah pergi ke rumah tersebut dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 tetapi pada ketika itu saya tidak ada bertemu sesiapa … jadi, saya tidak tahu langsung bahawa pondok itu ada keluarga kecil yang mendiaminya,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin.
Justeru, Mordi menyeru kerajaan agar lebih proaktif dalam membasmi kemiskinan khususnya di luar bandar.
“Tidak perlu melihat pada angka dan statistik, kerana jelas di kampung-kampung masih ramai yang miskin dengan taraf ekonomi masih berada dalam kategori miskin tegar,” katanya.
Ketua kampung, penghulu, pemanca atau kapitan memainkan peranan penting dalam menangani masalah ini, katanya sambil menambah, ketua masyarakat itu perlu melaporkan terus kepada wakil rakyat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Mordi berkata, Chaw difahamkan pernah memohon Program Bantuan Rumah (PBR) tiga tahun lepas namun belum ada jawapan sehingga sekarang, justeru pihak Pejabat Daerah perlu lebih tegas dalam isu ini.
Terlalu banyak aduan diterima di mana keluarga yang lebih layak gagal menerima PBR.
Dalam erti kata lain, ada golongan lain yang lebih diutamakan dan didahulukan.
Orang awam, persatuan, atau badan korporat yang ingin menghulurkan bantuan atau sumbangan kepada keluarga tersebut, boleh terus menghubungi Mordi di talian 016-8947974 atau Pejabat DAP Sarawak (082-335531).