Polis tahan dua suspek dipercayai terbabit kes bunuh pemandu kereta sapu

0

KOTA KINABALU: Dua lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dengan kes bunuh membabitkan seorang pemandu kereta sapu yang lehernya dikelar sebelum dicampak dalam semak berhampiran tangki air Kampung Binaung Baru, Menggatal pada Khamis lepas berjaya ditahan baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata suspek yang berusia 21 dan 27 tahun itu ditahan di sekitar kawasan Menggatal pada awal pagi Sabtu lalu.

“Hasil daripada tangkapan kedua-dua suspek itu, kita turut menemui sebilah pisau yang dipercayai senjata dalam kejadian berkenaan.

“Siasatan awal polis turut tidak menolak kemungkinan bahawa motif kes bunuh ini adalah disebabkan dendam atau tahap kemarahan terlampau terhadap si mati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan kelmarin.

Mengulas lanjut, Hamza berkata kedua-dua suspek itu kini direman selama lapan hari bermula pada 24 Ogos lalu dan pihaknya menyifatkan kes bunuh itu telah selesai berikutan dengan kejayaan tangkapan berkenaan.

Terdahulu dalam kejadian berlaku sekitar jam 7 pagi pada 22 Ogos lepas itu, mangsa dikenali sebagai Ibnu Paharan, 29 telah ditemui mati dalam keadaan tangan serta kaki terikat sementara mulutnya disumbat dengan kain oleh sepasukan anggota Unit Peronda Polis (MPV) di sebuah semak berhampiran tangki air, Kampung Binaung Baru, Menggatal di sini.

Kenderaan Toyota Unser yang digunakan oleh mangsa sebagai sumber rezeki kereta sapu turut ditemui kira-kira 50 meter daripada lokasi mangsa ditemui.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.