Karim nafi akan bertanding jawatan ketua pemuda

0

KUCHING: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah menafi khabar angin mengatakan beliau akan bertanding untuk jawatan ketua pemuda pada konvensyen parti nanti.

Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, beliau telah melalui era Pemuda dan tidak berminat untuk bertanding bagi merebut jawatan tersebut.

“Jika terdapat khabar angin seperti itu kedengaran, ia cuma sembang kosong sahaja,” ujar Abdul Karim ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB Batu Kawa di sebuah hotel kelmarin.

Menurutnya, Pemuda kini mempunyai ketua yang berkebolehan iaitu Datuk Fadillah Yusof dan beliau yakin Pemuda akan dijaga dengan baik olehnya.

“Saya tidak pasti sama ada Fadillah akan mempertahankan jawatannya, namun jika beliau berbuat demikian saya yakin beliau akan mampu berkhidmat dengan baik untuk bahagian Pemuda parti,” jelas Abdul Karim.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa sesi pemilihan cawangan serta ranting parti di seluruh negeri berjalan dengan lancar walaupun sesetengah daripadanya mengalami perubahan dari segi pucuk pimpinan.

“Ia merupakan perkara biasa dalam amalan demokrasi di mana kita akan melihat beberapa perubahan baharu dalam sesi pemilihan perwakilan cawangan dan ranting.

“Bagi peringkat negeri, tiada perubahan besar dijangka akan berlaku pada konvensyen parti nanti demi mengelakkan perpecahan ahli sebelum menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” jelasnya.

Sementara itu pada ucapan perasmiannya, beliau memberitahu bahawa para ahli PBB harus berbangga kerana tergolong dalam parti politik yang terkuat di Malaysia.

“PBB kini berada di tempat kedua sebagai parti terpenting dan terkuat selepas UMNO dalam ikatan parti komponen Barisan Nasional,” tegasnya.

“Banyak halangan yang dilalui sebelum PBB menjadi sebuah parti yang kuat dan berjaya,dan oleh itu kita tidak harus melupakan sejarah parti yang menjadikan para ahlinya berada dalam keadaan yang begitu selesa sekarang,” katanya.

Pada masa yang sama, Ketua Cawangan PBB Batu Kawah Datuk Ahmad Datuk Seri Ibrahim berkata, pihaknya berazam untuk mendaftar sebanyak 5,000 ahli serta pengundi berdaftar dalam masa 16 bulan akan datang.

“Selain berusaha menyelesaikan isu-isu semasa di cawangan Batu Kawah, kami juga berazam meningkatkan jumlah keahlian daripada 3,400 kepada 5,000 ahli,” ujar Ahmad.

Pada mesyuarat tersebut, Ahmad berjaya mengekalkan jawatannya sebagai ketua cawangan parti di situ.

Turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang.