PBT diminta mencantas dahan pokok yang reput

0

MENGUNDANG BAHAYA: Beginilah dahan pokok yang didapati sudah reput di Jalan Salim-Stabau, Sibu.

SIBU: Dahan-dahan pokok yang sudah reput dan sering mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya di Jalan Salim-Stabau memerlukan penyelenggaraan segera oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bak kata pepatah ‘lebih baik mencegah daripada mengubati’, dahan reput mungkin akan menimpa pengguna jalan raya yang kurang bernasib baik di sepanjang jalan tersebut pada bila-bila masa.

Sehubungan itu, penduduk setempat terutama pengguna jalan terbabit menggesa pihak berkenaan memastikan keselamatan pengguna jalan raya di Jalan Salim-Stabau diberi keutamaan terutama pada musim hujan dan ribut kencang.

Dahan-dahan pokok-pokok yang sudah reput di sepanjang jalan raya terbabit perlu dicantas dengan segera kerana dikhuatiri boleh mengancam nyawa pada bila-bila masa.

Saranan ini perlu diambil kira kerana pengguna jalan raya di situ sering menghadapi risiko berhadapan dengan bahaya apabila dahan-dahan atau ranting-ranting pokok yang sudah reput mudah terjatuh tanpa diduga.

“Kami berharap pihak berkenaan segera menyelenggara dan memastikan pokok-pokok di situ dicantas atau dijaga dengan baik demi mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini,” kata Tuai Rumah Grace Itun Upo di sini semalam.

Jelas Itun, keadaan bertambah buruk ketika berlakunya hujan dan ribut kencang di mana dahan-dahannya didapati mudah terjatuh sekali gus mendatangkan bahaya kepada pengguna motosikal dan kereta.

“Dahan-dahan pokok sebesar lengan jika jatuh, sudah pasti mendatangkan kecederaan kepada pengguna motosikal dan turut memecahkan cermin kereta.

“Setakat ini, kes sedemikian belum lagi berlaku dan seperti kata pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’.

“Keadaan ini sudah berlarutan sejak sekian lama tanpa sebarang tindakan pihak berkaitan,” tegasnya.

Menurutnya, terdapat beberapa batang pokok di jalan terbabit didapati sudah mati dan menunggu masa untuk tumbang.

“Ini adalah satu lagi ancaman kepada pengguna di jalan terbabit.

“Terdapat beberapa batang pokok di jalan itu umpama menunggu masa sahaja untuk tumbang.

“Jika tumbang pasti sesuatu buruk akan berlaku kerana jalan terbabit tidak sunyi daripada dilalui kenderaan,” katanya.

Tindakan pihak berkenaan menanam pokok sedemikian, adalah tidak salah untuk meredupkan persekitaran bagi keselesaan pengguna jalan raya sepanjang perjalanan.

Namun, tegasnya, mereka juga harus menjaga serta menyelenggara setiap apa yang mereka laksanakan bagi keselamatan pengguna.

“Pihak berkenaan seharusnya mengambil tindakan sewajarnya dengan mengambil kira faktor keselamatan pengguna yang menggunakan jalan terbabit.

Jalan Salim-Stabau merupakan jalan yang menghubungkan ke Jalan Nibong-Tada dan Jambatan Durin serta sering digunakan penduduk di sekitar Kanowit, Durin, Julau untuk ke pusat bandar Sibu kerana jalan terbabit merupakan jalan pintas.

Sementara itu, seorang Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bahagia Jaya Fasa III Narok Injing yang pernah menjadi mangsa dihempap dahan pokok di Jalan Kwong Ann menyeru pihak majlis tempatan supaya kerap menyelenggara pokok-pokok terutama di tepi jalan.

Dalam kejadian 26 Julai lalu, Narok yang bersama isterinya menunggang motosikal ke pusat bandar telah dihempap dahan pokok yang tiba-tiba jatuh ketika melalui Jalan Kwong Ann.

Kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu telah menyebabkan isterinya patah lengan kanan manakala Narok cedera di bahagian bahunya.

Motosikalnya turut mengalami kerosakan di bahagian depan dan beliau telah menuntut kerugian daripada pihak yang berkenaan.

“Apa yang berlaku terhadap saya dan isteri, boleh dijadikan iktibar dan pengajaran kepada pihak berkuasa tempatan agar kejadian yang sama tidak menimpa orang lain,” tambahnya.

Jalan-jalan yang mempunyai pokok di tepi jalan seperti di Jalan Tuanku Osman, Brooke Drive, Jalan Aman, Jalan Pulau, Jalan Merdeka, Jalan Salim-Stabau, Jalan Kwong Ann dan Jalan Pedada antara jalan yang berisiko di sini kerana dilihat berbahaya pada waktu hujan lebat dan ribut kencang.