Pengakap berpengaruh lahir modal insan negara, kata Mawan

0

USIA 100: Mawan (tengah) bersama Awang (tiga kiri) bersama jemputan lain memotong kek sebagai simbolik sempena Ulang Tahun Ke-100 Pengakap Sarawak di Pintu Gerbang Sibu kelmarin.

SIBU: Pergerakan Pengakap disifatkan sebagai persatuan sukarelawan tertua berpengaruh serta unik dalam melahirkan modal insan negara dan turut menjadi platform pembentukan generasi muda yang positif.

Menteri Pembangunan Sosial Negeri Tan Sri William Mawan Ikom berkata Pengakap adalah medium bimbingan generasi muda terbaik dalam melahirkan pelapis penerus kepada kepimpinan sedia ada dalam pelbagai bidang.

“Dengan usia mencecah 100 tahun pernubuhannya, saya percaya dan yakin Pengakap Sarawak mampu menyahut hasrat kerajaan dalam mengatasi gejala sosial yang kian serius dan dikatakan pemusnah kepada aset penting kita.

“Dalam konteks ini, kita sebagai ahli Pengakap berupaya menarik dan berpengaruh untuk membawa anak muda kini agar tidak terus terjerumus dalam kancah kurang sihat.

“Saya melihat Pengakap sebagai pergerakan paling berpengaruh dan memusatkan seluruh tenaga kepada misi menggembleng generasi penerus ke puncak potensi diri yang positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Pengakap Sedunia 2013 sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Pengakap Sarawak Peringkat Negeri di pekarangan Pintu Gerbang Sibu kelmarin.

Beliau yang juga dipertua Majlis Pengakap Negeri Sarawak memberitahu bahawa Pengakap sentiasa menyemarakkan semangat kesukarelaan, meniup nilai patriotisme dan menjana integrasi nasional.

“Di era globalisasi kita sedar banyak perubahan drastik dituntut oleh pemodenan maka generasi muda sebagai aset negara hendaklah berjiwa besar untuk meneruskan perjuangan para pemimpin negara.

“Oleh itu wajib bagi kita memikul peranan dalam memakmurkan negara dan pembinaan generasi akan datang terletak di bahu kita,” katanya.

Terdahulu Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Datuk Awang

Zaini Suntim dalam ucapan menyatakan bahawa Pengakap diiktiraf oleh kerajaan menjadi persatuan yang berupaya membangun dan wujud penubuhannya di peringkat Parlimen di negara ini.

“Peranan yang baik dari segi kepimpinan yang dibentuk menjadikan lebih 80 peratus ahli kabinet  sedia ada lahirnya daripada bekas-bekas ahli Pengakap.

“Ini menunjukkan persatuan pengakap berperanan membangunkan modal insan berwibawa.

Lebih 800 pemimpin serta ahli Pengakap Sarawak meliputi 10 cawangan iaitu Sibu, Mukah, Sarikei, Julau, Samarahan, Bintulu, Petra Jaya, Matang, Institut Pendidikan Guru (IPG) Rajang serta Tunas Puteri telah berkumpul memeriahkan sambutan tersebut.

Hadir sama Pengerusi Majlis Pengakap Daerah Sibu Tan Sri Tiong Hiew King, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Oliver Kuo Ging Bing serta tetamu lain.