Sukarelawan perlu peka dengan perubahan: Chan

0

MIRI: Golongan sukarelawan perlu peka dengan perubahan yang berlaku dengan pantas pada hari ini dan sentiasa bersedia menangani pelbagai masalah yang wujud dalam masyarakat.

Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Cabang Miri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan mengakui bahawa tingkah laku ekstrem dalam pelbagai bentuk, kemerosotan persekitaran dan pelbagai isu sosial berlaku dengan begitu kerap dan semakin serius.

“Justeru sebagai seorang sukarelawan, kita harus menyedari tentang perubahan dan cabaran ini dan memikirkan program untuk membantu mereka yang kurang berupaya dan memerlukan bantuan,” katanya pada perbarisan tahunan Hari Palang Merah dan PBSM Sedunia di sini, kelmarin.

Dr Chan mengingatkan para sukarelawan khususnya dalam PBSM supaya turut memperbaharui komitmen mereka bagi memperbanyakkan sumbangan dan bantuan kepada masyarakat setempat.

Mengenai semangat dan aktiviti kesukarelaan, beliau mengakui masyarakat Miri amat istimewa kerana setiap kali adanya atau wujud sesuatu keperluan, maka rakyat di sini akan tampil ke hadapan dengan pantas menghulurkan bantuan dan memberi khidmat secara sukarela.

“Justeru, saya menyeru kepada semua warga Miri supaya menggalakkan semangat keprihatinan dan penyayang kita dalam kalangan orang-orang kita,” katanya.

Dr Chan memberitahu, pada masa ini PBSM Cabang Miri adalah kumpulan sukarelawan yang berdedikasi dan paling ramai dalam memberi perkhidmatan kemanusiaan dan melaksanakan operasi bantuan di sini.

Sementara itu, sempena sambutan yang bertemakan ‘Bersama Untuk Kemanusiaan’, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri muncul juara keseluruhan perbarisan tahunan tersebut.

SMK Chung Hua Miri juga juara perbarisan kategori belia (sekolah menengah), naib juara SMK St Joseph dan ketiga ialah SMK Pujut.

Bagi kategori kanak-kanak (sekolah rendah), pemenang pertama ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung San Miri, kedua SJK Chung Hua Krokop dan ketiga SK Lutong.

Kategori khas dimenangi oleh Pusat Jagaan Harian Sunflower, manakala kawat kaki terbaik sekolah rendah ialah SJK Chung San dan sekolah menengah ialah SMK Chung Hua Miri.