Tujuh lagi balai bomba akan dibina di S’wak

0

KOTA SAMARAHAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak akan membina tujuh lagi balai bomba di negeri ini.

Pengarahnya Nor Hisham Mohammad berkata balai-balai bomba baharu itu masing-masing di Samalaju, Niah, Tanjung Manis, Tatau, Matu, Asajaya dan Sibujaya yang dibina secara berperingkat.

“Untuk 2014 kami akan membina tiga balai bomba kategori C iaitu di Samalaju, Niah dan Tanjung Manis dan balai kategori D pula ada dua iaitu di Tatau dengan menaik taraf pejabat Jabatan Kerja Raya yang lama kepada balai bomba dan satu lagi di Matu.

“Manakala pada 2015 kami menerima kelulusan awal untuk membina dua lagi balai bomba kategori D iaitu di Asajaya dan Sibu Jaya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramahtamah Aidilfitri anjuran JBPM Cawangan Kota Samarahan di Balai Bomba Kota Samarahan di sini semalam.

Menyentuh mengenai projek pembinaan balai bomba di Song, Kapit yang tergendala, Nor Hisham menjelaskan bahawa projek itu sudah disambung semula pada Jun lalu dan dijangka beroperasi pada 2015.

“Pada tahun ini kami sedang menyambung semula projek pembinaan balai bomba di Song dengan kontraktor baharu dan kos baharu, dijangka pada 2015 kami beroperasi di Song,” tambahnya.

Bagi pembinaan balai bomba kategori D di Asajaya yang akan dilaksanakan pada 2015, beliau memberitahu bahawa pihaknya kini sedang mencari lokasi yang bersesuaian.

Katanya pembinaan balai bomba di Asajaya itu dianggarkan menelan kos antara RM1 juta hingga RM2 juta mengikut lokasi, dengan tempoh pembinaan selama 18 bulan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang berkata tiga lokasi dikenal pasti bagi pembinaan balai bomba di Asajaya yang mana satu daripada lokasi itu berdekatan dengan Kompleks Sukan Asajaya.

“Isu balai bomba di Asajaya telah disuarakan sejak 10 tahun lalu dan kita bersyukur kerajaan telah meluluskan pembinaannya sekali gus dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan bomba di bahagian ini,” ujarnya.