SWP bukan lagi mesra BN

0

KUCHING: Parti Pekerja Sarawak (SWP) bukan lagi mesra Barisan Nasional (BN) sekali gus menamatkan spekulasi mengenai hala tuju ahli-ahlinya.

Presiden SWP Larry Sng berkata, partinya bersedia untuk barganding bahu dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri, malah menunjukkan rasa hormat terhadap Pengerusinya, Chong Chieng Jen yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa.

“SWP dan DAP bersetuju untuk bekerjasama untuk memaksimumkan kekuatan dari segi jumlah penyokong dan tidak perlu bagi parti pembangkang berebut sesama sendiri dalam kancah politik yang kini begitu sesak,” ujar Larry ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, pihak pembangkang seharusnya mengumpul segala sumber dan menyalurkan mesej sebagai satu kumpulan dan DAP sebagai tulang belakang Pakatan Rakyat (PR) harus mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan bersama parti-parti pembangkang lain.

“Ia juga tepat pada masanya kerana kini kami sedang berkembang ke arah kerusi di kawasan pedalaman dan saya yakin kepimpinan Chong akan menerima sokongan penuh daripada kami dalam me- realisasikan impian PR di Sarawak,” tambahnya.

Beliau turut memberitahu, beberapa mesyuarat di antara SWP dan DAP telah diadakan selepas PRU13 bagi membincangkan kerjasama di antara kedua-dua parti tersebut.

Larry berkata, parti politik lain yang berkongsi pendapat dan idealogi yang sama iaitu menawan Putrajaya adalah dialu-alukan untuk menyertai PR.

Selain itu, beliau memberitahu SWP mempunyai kekuatan dan pengaruh di kawasan pedalaman Sarawak yang mungkin akan memberi kelebihan kepada PR.

“Secara prinsipnya, kita harus bergabung tenaga bagi menentang BN,” ujar Chong ketika ditemui pemberita di ibu pejabat DAP kelmarin.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, SWP yang menyatakan pendirian mesra BN tetap bertanding namun tewas di semua kerusi yang diperuntukkan kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS), salah satu parti komponen BN negeri.