16 geng cuma samseng

0

Acryl

KUCHING: Polis mengkategorikan 16 kumpulan yang diwartakan sebagai kongsi gelap oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sarawak sebagai hanya kumpulan samseng yang bukan terancang sempurna.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesemua kumpulan tersebut adalah kumpulan samseng yang cenderung untuk melakukan jenayah, namun keahlian mereka adalah terhad jika dibandingkan dengan geng-geng kongsi gelap di Semenanjung.

“Geng kongsi gelap adalah lebih tersusun serta ada struktur hirarki dan upacara tertentu semasa pengambilan anggotanya. Ini berbeza dengan apa yang ada di Sarawak. Ia lebih menjurus kepada kum-pulan samseng yang cenderung melakukan jenayah.

“Selain itu, jumlah ahli kumpulan juga terhad dan tidak ada kaitan secara langsung dengan geng kongsi gelap di Semenanjung serta tidak didaftarkan di bawah mana-mana pertubuhan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain itu, katanya, kesemua kumpulan tersebut juga tidak mempunyai logo atau bendera tersendiri.

“Enam belas kumpulan yang diumumkan oleh KDN sebentar tadi (semalam) adalah ‘thug gang’ (samseng) dan ‘not well organised’ (tidak tersusun) yang tidak mempunyai logo atau bendera tersendiri seperti Geng 04, 08 dan sebagainya,” kata Acryl.

Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman nama 49 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara oleh Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi di Putrajaya, semalam.

Namun demikian, Acryl berkata, pihaknya tetap memandang serius perkara tersebut dan akan mempergiatkan operasi untuk menangkap kesemua ahli kumpulan berkenaan.

“Kita akan mempergiatkan Ops Cantas bagi mengesan serta menangkap kesemua ahli kumpulan di bawah Seksyen 105 Kanun Keseksaan untuk dokumentasi. Mana-mana ahli kumpulan yang terlibat dengan jenayah akan terus diambil tindakan.

“Walaupun Akta Pencegahan Jenayah 1959 (PCA) tidak dikuatkuasakan di sini, namun tindakan pemantauan terutama ‘man to man marking’ (pemantauan secara individu) dibuat ke atas ahli kumpulan yang aktif dan agresif,” katanya.

Sementara itu di Putrajaya semalam, KDN mengumumkan nama 49 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara yang dikategorikan haram mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 pada 28 Ogos 2013 melalui perwartaan P.U. (A) 272/2013.

Abdul Rahim pada satu sidang media berkata, kumpulan kongsi gelap berkenaan dikesan menjalankan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

“Mereka juga melakukan pembunuhan menggunakan senjata api atau barang-barang tajam seperti parang, pisau, kuku kambing dan sebagainya,” katanya menurut laporan Bernama.

Antara kumpulan kongsi gelap itu ialah Geng 04 yang dikenal pasti bergerak aktif di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur, Geng 08 yang aktif di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka serta Double 7 di seluruh Semenanjung.

Abdul Rahim menjelaskan, dengan pengisytiharan itu, tiada individu atau pihak boleh menggunakan semula nama berkenaan untuk didaftarkan sebagai pertubuhan.

Beliau berkata, segala akaun, aset dan harta pertubuhan kongsi gelap tersebut akan diserahkan dan digulungkan oleh Jabatan Insolvensi.

Selain itu, katanya, tiada individu boleh memegang jawatan, menjalankan kerja sebagai seorang anggota, membenarkan sesuatu mesyuarat dalam bangunan, menghasut, mendorong, mendapatkan yuran atau bantuan, menyiar dan bertindak bagi pihak atau wakil pertubuhan kongsi gelap.

Beliau berkata, mereka yang bertanggungjawab menjalankan apa-apa aktiviti pertubuhan kongsi gelap akan disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 335.

Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menganggap keputusan KDN mengumumkan nama 49 kongsi gelap semalam sebagai tindakan terlalu cepat meskipun Ops Cantas baharu dilancarkan 23 Ogos lepas.

Perdana Menteri berkata, ini kerana rakyat mengharapkan tindakan yang tegas diambil selepas berlakunya peningkatan laporan jenayah kekerasan akhir-akhir ini.

“Rakyat mengharapkan tindakan yang tegas diambil dan berkesan. Jadi ini semua adalah ketetapan yang dibuat oleh kerajaan supaya sesuatu dapat kita lakukan secara bersungguh-sungguh dan komprehensif melalui Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikanmesyuarat Majlis Tindakan Agenda Bumiputera di Putrajaya, semalam.

Najib berkata, tindakan PDRM dan KDN itu mendapat sokongan rakyat yang mahu hidup dalam negara yang aman.

“Rakyat mesti dapat hidup dalam sebuah negara yang mereka akan merasa selamat. Ini kita tidak akan kompromi, malah saya minta pihak PDRM supaya tindakan itu dilakukan secara berterusan.

“Perang terhadap jenayah ini hendaklah berterusan. Ini yang diharapkan rakyat. Kita mahu hidup dalam negara yang bebas daripada rasa takut. Oleh tu kita perlu memerangi jenayah terutama jenayah terancang,” kata Najib.