Tuesday, November 24

Esscom laksana program dekati masyarakat

0

SANDAKAN: Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Mohd Yusri Hasyim berkata pihaknya melaksanakan beberapa program sebagai usaha mendekati sekaligus mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat yang tinggal di bawah Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Ia termasuk mengadakan program kemasyarakatan sempena perayaan seperti Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri selain aktiviti bersama golongan belia dan beliawanis.

“Pada Ramadan yang lepas, kita telah melaksanakan 26 program Al-falah di masjid-masjid di daerah yang termasuk dalam Esszone dengan pengisian aktiviti berbuka puasa dan berterawih bersama penduduk terlibat.

“Dan dalam bulan Syawal, kita ada majlis rumah terbuka yang melibatkan penduduk berbilang bangsa dan agama. Selain itu, kita juga akan mengadakan aktiviti berbentuk patriotisme bersama belia dan beliawanis.

“Program yang dilaksanakan ini bertujuan mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat dan dalam masa yang sama, kita berharap mereka dapat menjalinkan kerjasama dan membantu kita di Esscom menerusi penyaluran apa jua maklumat yang berkaitan dengan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama penduduk Kampung Bahagia di kampung berkenaan, pada Khamis.

Menurut beliau, kestabilan dan keselamatan yang wujud turut membantu masyarakat setempat untuk menjalani kehidupan harian mereka seperti keluar bekerja dan menjalankan perniagaan dengan terjamin.

Katanya, sejak Esscom diwujudkan, masyarakat setempat di 10 daerah yang terlibat juga sudah memahami peranan yang dimainkan oleh pihaknya.

“Penduduk juga telah memberi kerjasama yang baik kepada kerajaan untuk sama-sama memainkan peranan demi menjaga kestabilan dan keselamatan negara,” katanya sambil menambah, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penyaluran sebarang bentuk maklumat berkaitan keselamatan.

Mengenai majlis itu, beliau berkata ia merupakan sambutan sempena Hari Raya Aidilfitri bersama masyarakat Kampung Bahagia yang melibatkan kira-kira 5,000 penduduk.

Katanya, penduduk kampung itu yang 90 peratus berbangsa Suluk dan 10 peratus Bajau memberi peluang kepada pihaknya untuk mendekati sekaligus menjalinkan kerjasama lebih kukuh agar kestabilan dan keselamatan dapat dikekalkan.

“Program-program kemasyarakatan yang kita adakan melibatkan keseluruhan penduduk di 10 daerah di bawah Esscom. Tidak ada sebarang pemilihan tempat yang tertentu serta sasaran suku dan agama, sebaliknya semua libatkan,” katanya.