Infrastruktur S’wak diberi keutamaan Belanjawan 2014

0

KUCHING: Kerajaan akan meletakkan keperluan infrastruktur sebagai keutamaan yang diberikan kepada Sarawak dalam Belanjawan 2014, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Menurut beliau, keperluan infrastruktur adalah antara perkara paling banyak dibangkitkan dari Sarawak dalam konsultasi belanjawan bersama pihak-pihak tertentu sebelum ini.

“Di Sarawak, salah satu yang kita lihat ialah keperluan infrastruktur. Ia merupakan perkara paling banyak dibangkitkan dan kita akan berikan keutamaan, selain perkara lain,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Kementerian Kewangan 2013 di Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) Cawangan Sarawak di sini, semalam.

Ahmad Husni berkata, dari segi perkembangan persiapan Belanjawan 2014, kementerian telah menyelesaikan konsultasi belanjawan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah minggu lepas.

Hasil konsultasi tersebut, katanya, secara keseluruhan pihaknya menerima kira-kira 100 memorandum.

“Kita kini dalam proses terakhir daripada 15 ‘focus group.’ Sekarang hanya tinggal beberapa lagi yang belum selesai termasuk ‘focus group’ berkenaan Indeks Kebahagiaan rakyat. Ini penting dan diperkenalkan pada tahun ini,” katanya sambil menjelaskan menjelang pertengahan bulan September, kementerian akan menyiapkan draf belanjawan tahun depan.

Belanjawan 2014 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Oktober depan.

Sebelum pembentangan, kementerian mengadakan siri konsultasi bagi Semenanjung, Sarawak dan Sabah untuk mendapatkan pandangan atau cadangan termasuk daripada orang ramai sebagai input sebelum ia dikaji.

Setiap isu yang dibangkit dan cadangan yang dike- mukakan akan diberi pertimbangan sewajarnya sebagai input penyediaan Belanjawan 2014, katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Husni berkata Hari Terbuka Kementerian Kewangan 2013 merupakan program yang amat bermakna kepada Kastam kerana ia bukan sahaja untuk berkongsi pengalaman dengan pelanggan, tetapi juga secara tidak langsung mendapatkan maklum balas mengenai jabatan.