Lima keluarga hilang tempat berteduh

0

ANGGOTA bomba ketika operasi memadam kebakaran rumah di Kampung Jang, Jalan Istana, kelmarin.

SANDAKAN: Lima keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang mereka duduki musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Jang, Jalan Istana, di sini, tengah hari kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu melibatkan dua buah rumah separuh kekal di mana sebuah daripadanya dikongsi bersama empat keluarga yang membabitkan 22 mangsa.

Menurut seorang mangsa, Samsiah Bone, 48, berkata kebakaran itu yang berlaku pantas menyebabkan mereka tidak dapat menyelamatkan barangan rumah dan dokumen penting termasuk kelengkapan persekolahan.

Katanya, rumah berkenaan yang telah mereka diami sejak 20 tahun lepas merupakan milik kakak sepupunya.

Seorang lagi mangsa, Albaina Utal, 29, memberitahu meskipun kehilangan tempat berteduh, namun dia bersyukur kerana keluarga termasuk anaknya yang berusia 1 tahun 8 bulan terselamat.

Katanya, keluarga besar mereka kini menumpang sementara di rumah jiran berhampiran.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan menghantar tiga jentera bersama 13 anggota ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Operasi memadam kebakaran yang diketuai oleh Ketua Operasi, Callixtus Sedalis tamat pada jam 1.23 petang dan pihaknya turut mendapat bantuan daripada PDRM dan JPAM.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.