Pelaksanaan GST sedang dikaji

0

KUCHING: Kerajaan sedang melakukan kajian mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana pelaksanaan cukai baharu itu masih perlu diteliti bagi memastikan ia mengambil kira kesannya kepada ekonomi negara secara keseluruhan dan kepada rakyat.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata, pelaksanaan itu tidak hanya tertumpu kepada hasil kewangan kepada kerajaan semata-mata tetapi juga untuk kesejahteraan rakyat negara ini.

“Sekarang kita sedang melakukan kajian dari segi pelaksanaannya kerana kita perlu melihat bagaimana kesan kepada ekonomi Malaysia terutama dari segi Indeks Harga Pengguna (CPI) kerana kita mahu memastikan jika berlaku kenaikan harga barang, berapa peningkatan kenaikan.

“Selain itu kita juga perlu melihat bagaimana ia akan menjejaskan rakyat kerana pada akhirnya nanti kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Kementerian Kewangan 2013 di Akademi Kastam Diraja Malaysia (AKMAL) Cawangan Sarawak di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa jika ia dilaksanakan sekalipun ia akan melihat kepada kesan kepada harga dan kesan kepada isi rumah termasuk golongan yang mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak terkena kesan dan Perdana Menteri yang akan mengumumkan mengenainya.

Malah kerajaan mempunyai Makmal Perbendaharaan (Treasury Lab) untuk melihat ekonomi negara bukan sahaja berpaksikan pada soal GST tetapi keseluruhan ekonomi Malaysia.

“Ini kerana kita sedang berhadapan dengan ekonomi dunia yang malap dan tidak tahu bila ia akan pulih.

“Untuk memastikan eko-nomi domestik tetap kukuh, maka Makmal Perbendaharaan ini akan melihat ke-seluruhannya bukan sahaja kewangan tetapi ekonomi negara,” tegasnya.

Menurut Ahmad Husni, bagaimanapun Malaysia ma-sih mempunyai ekonomi yang kukuh berbanding banyak negara lain dan dengan itu kerajaan cuba mencari inisiatif terbaik untuk diperkenalkan terutama dalam Belanjawan 2014.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani, Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Datuk Nozirah Bahari dan Pegawai Kewangan Perse-kutuan Sarawak Datu Jabidah Monseri.