Seorang lagi ahli keluarga Brooke dikebumi di Sメwak

0

KUCHING: Rangka Rajah Muda Sarawak terakhir, Anthony Walter Dayrell Brooke akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Keluarga Brooke, sebelah Kubu Margherita di sini.

Yayasan Warisan Brooke dalam satu kenyataan berkata ia merupakan permintaan mendiang dan upacara itu akan diadakan pada 21 September ini.

Sebelum dikebumikan semula pada jam 2 petang, satu upacara sembahyang khas akan diadakan di Katedral St Thomas yang akan diketuai Biskop Agung Datuk Bolly Lapok.

“Ahli keluarga Brooke, sahabat, wakil dan perwakilan diplomatik dijangka akan menghadiri upacara bersejarah ini sebagai penghormatan terakhir bagi Dinasti Brooke yang memerintah Sarawak,” kata kenyataan itu.

Mendiang yang meninggal dunia pada 2 Mac 2011 di Rumah Brooke, Wanganui, New Zealand pada usia 98 tahun, memerintah Sarawak pada 1939 hingga 1940 bagi memangku jawatan bapa saudaranya, Rajah Charles Vyner Brooke – Rajah Sarawak terakhir.

Kenyataan itu turut menambah, ahli keluarga Brooke akan berada di Kuching selama tiga minggu yang akan tiba pada 4 September sebagai tetamu jemputan bagi Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-50 Sarawak Dalam Malaysia, dan akan berada di sini sehingga upacara pengebumian semula selesai.

Orang ramai yang ingin menyertai upacara sembahyang khas itu dialu-alukan datang ke St Thomas.

Anthony yang dilahirkan pada 10 Disember 1912 dilantik sebagai Rajah Muda Sarawak pada 25 Ogos 1937 ketika zaman pemerintahan Vyner Brooke.

Beliau dibesarkan di England dan mendapat pendidikan awal di Eto College seterusnya Trinity College, Cambridge dan School of Africa and Oriental Studies, University of London.

Pada awal 1930-an, Anthony menyandang beberapa jawatan penting dalam sektor awam termasuk di Jabatan Tanah dan Pendaftaran serta sebagai majistret.

Beliau seterusnya menyertai Tentera British pada November 1941 dan berkhidmat semasa Perang Dunia Kedua.