Site Last Updated 12:53 pm, Thursday

Bekas anggota TUDM mati ditembak dekat restoran bapa

Posted on September 2, 2013, Monday

IPOH: Seorang bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mati ditembak berhampiran restoran milik bapanya di deretan premis perniagaan di Jalan Permasuri Mazwin, Taman Rishah, Silibin di sini pagi semalam.

Mangsa S. Jambukeshan, 39, yang mempunyai tiga orang anak meninggal dunia ketika dibawa anggota keluarganya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Mangsa yang bersara selepas 19 tahun berkhidmat dengan TUDM kini membantu perniagaan restoran bapanya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.15 pagi ketika mangsa mahu mengeluarkan barangan dari kereta Perodua Kancil di hadapan sebuah kedai runcit yang terletak kira-kira 30 meter dari restoran bapanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata semasa mangsa keluar dari keretanya, sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih perak tiba-tiba menghampiri mangsa dan seorang suspek yang memakai topi keledar dengan cermin muka penuh keluar dari kereta itu lalu melepaskan beberapa das tembakan.

“Suspek kemudiannya terus masuk ke dalam kereta Vios itu dan melarikan diri. Polis percaya terdapat sejumlah suspek di dalam kereta itu.

“Kita akan dapatkan rakaman kamera litar tertutup mengenai kejadian,” katanya kepada pemberita di Balai Polis Taman Rishah di sini semalam.

Sum berkata polis menjumpai tiga kelongsong peluru dan slug jenis .9mm di tempat kejadian.

Beliau berkata polis sedang menyiasat motif pembunuhan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi mana-mana balai polis. — Bernama

Print Friendly

We encourage commenting on our stories to give readers a chance to express their opinions; please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. While the comments here reflect the views of the readers, they are not necessarily that of Borneo Post Online. Borneo Post Online reserves the right not to publish or to remove comments that are offensive or volatile. Please read the Commenting Rules.

Comments are closed.