Lima suspek seludup 3,815 Liter minyak subsidi ditahan

0

GELEN minyak bersubsidi yang cuba diseludup disembunyikan di atas bot.

TAWAU: Pasukan 7 Rejimen Askar Melayu Diraja (7RAMD) yang melaksanakan Op Pasir di Pos Pulau Danawan, Semporna berjaya mengekang cubaan lima lelaki menyeludup keluar 3,815 liter minyak bersubsidi ke negara jiran Ahad lepas.

Ketua Penempatan Pos Pulau Danawan, Kapten Ismail Merah, berkata kelima-lima suspek berusia antara 15 hingga 45 tahun diberkas dalam serbuan sekitar jam 6.30 petang ketika sedang memindahkan minyak diesel dan petrol dari bot tempel ke bot pusu.

“Kita menerima maklumat daripada penduduk kampung yang mengesyaki berlaku proses pemindahan minyak bersubsidi antara kedua-dua bot,” katanya dalam satu kenyataan media siaran Pegawai Perhubungan Media Markas Angkatan Tugas Bersama II di sini kelmarin.

Ismail berkata bertindak hasil maklumat diterima, beliau mengetuai sepasukan tujuh orang anggota membuat pemeriksaan dan serbuan selepas mendapati awak-awak bot terlibat sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak bersubsidi berkenaan.

Hasil pemeriksaan itu, beliau berkata pihaknya berhasil merampas 109 gelen berisi minyak bersubsidi dengan anggaran 1,855 liter diesel dan 1,960 petrol dari kedua-dua bot terbabit dan turut menahan kelima-lima suspek.

“Kelima-lima suspek yang ditahan hanya menggunakan ‘Surat Palauh’,” katanya sambil mendedahkan pihaknya mengesyaki kesemua minyak bersubsidi yang dirampas itu hendak diseludup keluar ke Filipina.

Beliau berkata kedua-dua bot yang dinaiki kelima-lima suspek terlibat ditarik ke jeti tentera di Pulau Danawan dan laporan juga sudah diberikan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, beliau menggesa masyarakat yang tinggal di kawasan Operasi Pasir ataupun ketenteraan supaya segera melaporkan kepada pihaknya sebarang aktiviti mencurigakan untuk membolehkan tindakan pantas dapat diambil.