Tarik diri jika terjebak kongsi gelap

0

SHAHELMY ketika melayan sanak saudaranya di kediaman beliau di Taman Bukit Antarabangsa bersempena majlis rumah terbuka Aidilfitri kelmarin.

KOTA KINABALU: Golongan muda belia di negeri ini dinasihatkan untuk segera meninggalkan mana-mana persatuan yang terjerumus dengan kancah jenayah atau kongsi gelap.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Putatan, Ir Shahelmy Yahya berkata golongan itu perlu lebih peka dengan perkara berkenaan memandangkan ia secara tidak langsung akan mempengaruhi masa hadapan individu yang terlibat.

“Kita nasihatkan jika muda mudi sekarang mahu menyertai mana-mana pertubuhan, adalah dinasihatkan untuk menyelidik presiden atau ketuanya terlebih dahulu agar mengelak daripada dieksplotasikan.

“Sehubungan itu, sekiranya anda telah menyertai mana-mana pertubuhan haram atau kongsi gelap seperti mana diumumkan oleh pihak berkuasa baru-baru ini untuk segera menarik diri,” katanya.

Menurut Shahelmy, pihaknya difahamkan bahawa kebanyakkan belia yang telah menyertai kumpulan tersenarai sebagai kongsi gelap di Sabah tidak tahu menahu mengenai status latar belakang persatuan itu sehinggalah ia diumumkan sebagai pertubuhan haram.

“Berdasarkan maklum balas diterima, rata-rata golongan belia di kebanyakan kawasan menyertai kumpulan yang disenaraikan sebagai kongsi gelap itu tidak tahu menahu latar belakang pertubuhan berkenaan.

“Oleh demikan, sebagai pergerakan Pemuda, disarankan belia menyertai pertubuhan yang sah dan tidak melanggar batas undang-undang kerana kita semua merupakan harapan nusa dan bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu berkenaan di majlis rumah terbuka bersempena Aidilfitri di kediamannya di Taman Bukit Antarabangsa, Sepanggar kelmarin.

Sebanyak lima kumpulan di Sabah telah disenaraikan sebagai antara 49 kumpulan kongsi gelap yang diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 29 Ogos lepas.

Kumpulan terbabit dikenali sebagai Sabah ATAP, Hung Ann, Sui Yuk, Otai dan Borneo Red EMP.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi telah membuat kenyataan bahawa kesemua 49 kumpulan kongsi gelap terbabit dikategorikan sebagai haram mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966.