Tiga pelajar maut, 17 cedera

0

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan pacuan empat roda itu.

Dua kemalangan berasingan di Keningau dan Beaufort

KOTA KINABALU: Tiga pelajar maut, manakala 17 lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan di Keningau dan Beaufort pada petang Ahad dan pagi kelmarin.

Dalam kemalangan pertama di Keningau, dua pelajar lelaki dari dua sekolah menengah maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 5 Jalan Keningau-Tenom, kira-kira jam 3.30 petang pada Ahad.

Sementara tujuh yang lain terdiri pemandu dan penumpang dari kedua-dua kenderaan mengalami cedera parah dan ringan.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Robert Salisip @David, berkata kedua-dua mangsa dikenali Kenedy Koroh, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau 2 dan Agustin Miha, 14, pelajar Tingkatan Dua SMK Gunsanad 2. Kedua-duanya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.

Katanya, kejadian berlaku ketika kenderaan jenis Kia Spectra yang dipandu Darry Langan, 27, dari Kampung Taburi Lahad Datu bergerak dari arah Tenom ke Keningau cuba dipotong oleh kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Koroh Puar, 40, dari Kampung Keritan Ulu yang bergerak dari arah sama selepas memotong sebuah kenderaan Kembara.

“Dalam kejadian itu, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Koroh (bapa mangsa) bergesel dengan kenderaan Kia Spectra menyebabkan Kia Spectra terbabas dan terlanggar tembok pagar di sebelah tepi kiri jalan, manakala pacuan empat roda terbabas di tepi jalan sebelah kanan dan masuk dalam parit di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan Jenis Cina SRJK(C) Yuk Kong,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Beliau berkata dalam kejadian itu Darry (pemandu Kia Spectra) dan dua penumpang, Capriati Marai, 23, dari Kampung Antalok Tenom dan Caprilvionnie Darry, 3, hanya mengalami cedera ringan.

Sementara itu, Koroh (pemandu pacuan empat roda) cedera parah serta patah kaki kanan dan dirawat di Hospital Keningau.

Tiga lagi pelajar perempuan yang merupakan penumpang pacuan empat roda, terdiri dari Shatatasa Koroh, 13, Amikelyndren, 14, dan Rezyana Ronichie Raminsin, 13, mengalami kecederaan ringan.

Robert berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Keluarga terdekat mangsa yang dihubungi memberitahu kenderaan yang dipandu oleh Koroh bergerak dari Kampung Keritan Ulu ke Keningau bertujuan menghantar pelajar balik ke asrama sekolah masing-masing di SMK Keningau 2 dan SMK Gunsanad 2.

Kedua-dua mayat mangsa telah dituntut oleh keluarga masing-masing selepas bedah siasat dijalankan kira-kira jam 12 tengah malam pada hari kejadian.

Sementara itu, Ketua Operasi yang juga Penyelia Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Asip Kaibin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang anggota polis yang kebetulan melalui jalan itu pada jam 3.39 petang, sejurus itu mereka bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera dan tujuh anggotan berserta sebuah kenderaan Ambulans Hospital Keningau.

Katanya, dua pelajar itu maut di tempat kejadian sementara tujuh mangsa lain yang terdiri seorang wanita sarat mengandung dan tiga wanita remaja serta seorang kanak-kanak berusia tiga tahun serta dua pemandu berkenaan mengalami cedera parah dan ringan pada kejadian itu.

Sementara dalam kejadian kedua di Beaufort, seorang pelajar perempuan maut, manakala 10 lagi cedera, termasuk seorang guru perempuan sebuah prasekolah yang memandu kenderaan malang itu cedera, dalam kejadian di Kilometer 1 Jalan Weston-Beaufort, pagi kelmarin.

Semua pelajar berkenaan belajar di Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Weston, manakala guru prasekolah itu mengajar di SK Lingkungan, Beaufort.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Nurhaini Binte Main, 17, pelajar tingkatan lima SMK Weston, yang disahkan meninggal dunia setibanya di Klinik Kesihatan Weston, manakala 10 yang cedera diberi rawatan di hospital.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 pagi di kawasan dua selekoh, apabila kereta jenis Unser yang membawa 12 pelajar yang dipandu seorang guru perempuan berusia 33 tahun, dikatakan hilang kawalan, lalu terbalik dan terbabas ke bahu jalan.

Kenderaan berkenaan yang dalam perjalanan dari Lumadan ke Weston itu turut ditumpangi anaknya pemandu berkenaan, berusia lima tahun, yang turut cedera dalam kemalangan itu.

Pengetua SMK Weston, Abd Samat Jumat, berkata seramai 11 pelajar SMK Weston terlibat dalam kemalangan berkenaan, iaitu tujuh pelajar perempuan dan empat pelajar lelaki. Seorang daripada pelajar berkenaan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah, DSP Mustaffa Maarof Bin Mustaffa, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

“Pada masa sama, saya menasihatkan pemandu dan pemilik kenderaan agar jangan membawa lebih muatan selain sentiasa berhati-hati ketika memandu,” katanya.