Harga barang dipantau berikutan kenaikan harga minyak 20 sen

0

KPDNKK belum terima aduan berhubung kenaikan harga barang kawalan

LIMBANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Bahagian Limbang belum menerima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung kenaikan harga barang kawalan walaupun ada desas-desus mengenai kenaikan harga barang selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen kelmarin.

Ketua KPDNKK Bahagian Limbang Jubin Janggong berkata meskipun demikian, pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan di daerah Limbang dan Lawas bagi memastikan tiada  peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang kawalan sesuka hati.

“Kami nasihatkan orang ramai agar mengemukakan aduan atau maklumat kepada pihak kami sekiranya mendapati ada peniaga menaikkan harga barang kawalan atau barang bukan kawalan secara tidak munasabah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jubin menjelaskan, seramai 14 anggota penguat kuasa dan sembilan Pegawai Pemantau Harga (PPH) melakukan pemantauan di sekitar bandar ini serta tiga pegawai penguat kuasa di Lawas termasuk tiga PPH.

Jelasnya setakat ini pihaknya belum menerima aduan berhubung kenaikan harga barang kawalan di daerah ini selepas harga minyak dinaikkan sebanyak 20 sen.

Dalam pada itu beliau memberitahu bahawa harga barang kawalan di bahagian ini agak tinggi sedikit berbanding di bandar lain seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri berikutan harga subsidi barang kawalan dari Semenanjung Malaysia hanya sampai di bandar-bandar besar.

“Oleh itu kebanyakan peniaga sendiri yang menanggung kos pengangkutan bagi penghantaran barang kawalan dari Kota Kinabalu ke Limbang mahupun dari Miri ke bahagian ini,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau turut memberi amaran kepada peniaga agar tidak menaikkan harga barang sesuka hati dan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak  mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen.

Berikutan pengumuman kenaikan itu, timbul desas-desus mengenai kenaikan harga barang di bahagian ini sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai terutama mereka yang berpendapatan rendah.