Ibu mentua nafi paksa mangsa, gadis dakwa turut rendam tangan

0

SIBU: Siasatan awal polis mendapati seorang gadis berumur 13 tahun dipercayai turut merendam tangannya ke dalam air panas yang sedang mendidih di dalam periuk bersama kakak iparnya Azreenna, 21, dalam insiden untuk menegakkan kebenaran di hadapan neneknya, petang Jumaat lalu.

Polis yang pergi ke lokasi kejadian di sebuah rumah sewa di Jalan Lanang pagi kelmarin telah membawa ibu mentua mangsa, 40-an, dan cucu perempuannya itu ke Balai Polis Sentral untuk diambil keterangan.

Selepas disoal siasat, cucu ibu mentua mangsa memberitahu polis bahawa dia juga merendamkan tangan ke dalam air panas tersebut kerana dia juga ingin membuktikan bahawa dia bercakap benar.

Bagaimanapun, tangan cucu ibu mentua mangsa hanya mengalami sedikit kelecuran.

Ibu mentua mangsa juga menafikan tindakan mangsa merendamkan tangan kanannya ke dalam air panas itu adalah secara paksa, sebaliknya atas kerelaan mangsa.

Ibu mentua mangsa dan cucunya kemudiannya dibenarkan pulang selepas keterangan mereka diambil oleh polis.

Dalam kejadian pada jam 7.30 petang Jumaat lalu, seorang suri rumah yang sedang mengandung tiga bulan mendakwa ibu mentuanya memaksanya untuk merendam tangan kanannya ke dalam air panas yang sedang mendidih di dalam periuk demi menegakkan kebenaran bahawa dia tidak curang.

Ibu mentua mangsa dipercayai berbuat demikian selepas dimaklumkan oleh cucunya bahawa mangsa yang hanya dikenali sebagai Azreenna mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Walaupun mangsa menafikan dakwaan itu dan menegaskan kepada ibu mentuanya bahawa dia masih setia dan tidak curang terhadap suaminya, namun kata-katanya tidak diendahkan oleh ibu mentuanya.

Untuk membuktikan bahawa dia bercakap benar, Azreenna mendakwa dia dipaksa merendam tangan kanannya ke dalam air yang sedang mendidih, sekali gus mengakibatkan kelecuran teruk.

Mangsa kemudiannya dibawa keluar oleh suaminya dan menetap di rumah saudaranya di Jalan Aman selepas insiden tersebut.

Mangsa yang diiringi oleh suami, bapa saudara dan ibunya pergi ke balai polis untuk membuat laporan polis mengenai insiden itu pagi kelmarin.