Lima Penyeludupan barangan, haiwan bernilai hamper RM100,000 gagal

0

SEBANYAK 4,800 kotak rokok pelbagai jenama yang ditinggalkan di pesisir pantai Batu 6, Jalan Apas dirampas kerana disyaki diseludup untuk pasaran tempatan.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau mematahkan lima cubaan penyeludupan masuk pelbagai barangan dan haiwan yang dianggarkan bernilai hampir RM100,000 dalam tempoh dua hari di sekitar perairan daerah ini antara Isnin dan Selasa lepas.

Menurut Komander PPM (Wilayah 4) Sabah, ACP Mohammad Madun, pasukannya merampas 4,800 kotak rokok pelbagai jenis, 48 tin produk kecantikan, sebuah parabola, dua ekor ayam serta dua ekor itik yang disyaki cuba diseludup masuk dari negara jiran.

“Kes pertama, kedua dan ketiga melibatkan rampasan di tiga feri penumpang berasingan antara jam 12.40 tengah hari dan 1.20 petang pada Isnin lepas melibatkan rampasan ayam sabung, alat parabola jenama LG SAT dan dua ekor itik hidup,” katanya di sini kelmarin.

Mohammad berkata ketiga-tiga serbuan itu dilakukan selepas kesemua feri penumpang berkenaan baharu sahaja tiba dari Nunukan, Kalimantan Timur, Indonesia di kawasan laut Tanjung Batu di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata rampasan rokok dibuat pada hari keesokannya kira-kira jam 3 pagi di pesisir pantai Batu 6 Jalan Apas apabila sepasukan PPM Tawau bertugas mengesan bungkusan hitam ditinggalkan di kawasan terbabit.

“Kes kelima melibatkan rampasan produk kecantikan jenama Herocyn di dalam sebuah feri penumpang yang baharu sahaja tiba dari negara jiran di kawasan Pelabuhan Tawau kira-kira jam 11.50 pagi di kargo,” katanya.

Beliau berkata pihaknya merampas kesemua produk berkenaan kerana tidak mempunyai label daftar kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia dan tidak ada kebenaran untuk dibawa masuk ke negara ini.

Menyentuh mengenai tindakan lanjut pihaknya terhadap kesemua rampasan terlibat, beliau berkata kesemua barangan dan haiwan terbabit dibawa balik ke Pangkalan PPM Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes rampasan ayam dan itik disiasat mengikut Seksyen 3 Ordinan Haiwan 1962, set parabola disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967, sementara rokok pula menerusi Seksyen 135 Akta Kastam sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Kes membabitkan produk kecantikan pula disiasat mengikut Seksyen Akta Farmasi (Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik Peraturan 18 A) dan diserahkan kepada Unit Farmasi KKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Menurut Mohammad, tidak ada sebarang tangkapan dibuat dalam kelima-lima kes berkenaan kerana tidak ada sebarang individu ataupun pihak berkaitan yang tampil mengaku sebagai pemilik barangan dan haiwan yang dirampas pihaknya.