MBM merancang menaikkan kadar cukai pintu mulai tahun depan

0

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) merancang  menaikkan kadar cukai pintu tahunan sebanyak dua peratus iaitu daripada 23.5 peratus kepada 25.5 peratus mulai tahun depan.

Datuk Bandar MBM Lawrence Lai berkata, kenaikan kadar berkenaan adalah bagi membolehkan MBM menyediakan perkhidmatan pengosongan tangki septik ke kawasan perumahan, bangunan komersial dan tempat-tempat keagamaan di bandar raya sini.

“Keputusan terbabit akan dikemukakan kepada kementerian untuk dilaksanakan.

“Selepas diluluskan, kadar baharu tersebut akan dilaksanakan pada tahun depan bagi memudahkan kami memulakan perkhidmatan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Loji Rawatan Enap Cemar Miri di Tudan yang terletak 10 kilometer dari pusat bandar raya Miri.

Menurutnya, rawatan pengosongan tangki tersebut adalah penting dalam memastikan persekitaran yang lebih bersih dan sihat khususnya di Miri yang semakin membangun.

“Kekerapan menjalankan perkhidmatan berkenaan turut berbeza bagi semua premis seperti perumahan, bangunan komersial, bangunan kerajaan, hotel atau perindustrian yang lain,” katanya.

Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak adalah pemilik loji berkenaan manakala Sar-Alam Indah dilantik untuk mengurus, menyelenggara dan menjalankan operasi rawatan enap cemar tersebut.

Jelas Lai lagi, pelaksanaan loji terbabit merupakan salah satu perancangan Kerajaan Negeri Sarawak yang menyedari keperluan program pengosongan yang bersesuaian untuk kesemua sistem rawatan sisa kumbahan.

Dengan itu, kerajaan telah menggubal undang-undang supaya pengosongan tangki-tangki septik dijalankan mengikut kekerapan yang ditetapkan pada 1998 dan kemudiannya dipinda pada 2002 sebagai The Local Authorities (Compulsory Desludging of Septic Tanks)(Amendment) By-Law, 2002.

Kekerapan pengosongan tangki perlu dijalankan mengikut jenis premis iaitu perumahan (sekali setiap empat tahun), komersial (sekali setiap dua tahun), bangunan kerajaan, sekolah, tempat beribadat (sekali setiap setahun) dan hotel, asrama, rumah penginapan dan kilang adalah sekali setiap enam bulan.

Sementara itu, loji rawatan yang baharu siap berkenaan menelan belanja RM20 juta meliputi tapak seluas 18 ekar di kawasan hutan.

Loji terbabit akan menerima dan merawat enap cemar septik yang dikutip di sekitar bandar raya Miri dan di pinggir bandar.

Kumbahan yang telah dirawat akan dilupuskan di tapak pelupusan sampah di Bekenu.

Kapasiti loji berkenaan direka bagi menampung sejumlah tangki septik dan unit rawatan air di Miri sehingga tahun 2020.

Loji tersebut mampu mencapai Standard A Kualiti Alam Sekitar Akta 2009 standard effluen.

Turut hadir Penolong Pengarah (Perancangan dan Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak Hilary John Da serta Pengarah Sar-Alam Indah Sdn Bhd Ian W Lee.