Operasi kesan PATI terus dipergiat

0

PERIKSA: Zamzami (kiri) bersama seorang anggota JIM sedang memeriksa beberapa pekerja warga asing di sebuah ladang penternakan ayam di Jalan Lama Kuching-Serian, awal pagi semalam.

32 lagi berjaya ditahan imigresen di lokasi berasingan dekat Kuching

KUCHING: Seramai 32 lagi warganegara asing berjaya ditahan daripada 86 yang diperiksa sepanjang hari ketiga Ops 6P oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, awal pagi semalam.

Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasa Imigresen Sarawak Mohd Zamzami Marzuki berkata, tangkapan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di sekitar Kuching sejak operasi tersebut dijalankan kepada 140 orang.

“Kita telah memeriksa seramai 86 pekerja warga asing di dua lokasi berlainan pada hari ketiga Ops 6P dijalankan, di mana kita juga telah menahan 32 daripada mereka atas beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Justeru, jumlah terkini warga asing yang telah diperiksa di sekitar Kuching sepanjang Ops 6P adalah seramai 971 orang dari 20 lokasi dan 140 daripadanya telah ditahan atas pelbagai kesalahan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi tersebut yang dijalankan di dua tapak industri pertanian yang terletak di Jalan Lama Kuching-Serian dan Batu 31 Jalan Kuching-Serian.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan kebanyakannya didapati melanggar Seksyen 6(3) iaitu tinggal di Malaysia tanpa pas sah dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau sebat enam kali atau kesemuanya sekali.

Tangkapan itu turut dibuat di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen kerana tinggal lebih masa dan Peraturan Imigresen 39(b) kerana melanggar syarat pas diberikan.

“Kebanyakan yang ditahan atas kesalahan tidak memiliki dokumen dan juga disyaki telah menyalahgunakan pas lawatan. “Disebabkan itu, kita terpaksa menahan mereka untuk siasatan lanjut dan jika disabit kesalahan akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya sambil menasihatkan pihak majikan agar sentiasa memandang serius perkara tersebut.

Operasi tersebut semalam disertai 29 anggota JIM Sarawak.

Turut hadir Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Ramli Mohamad Salleh.

Ops 6P dilaksanakan berterusan sehingga hujung tahun ini untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

“Tangkapan itu dibuat berdasarkan risikan awal serta maklumat daripada orang awam dan kita akan teruskan risikan-risikan ini dengan kerjasama daripada agensi penguat kuasa lain seperti pihak polis dan RELA,” katanya.