Panik premis disimbah cat merah

0

Premis yang terjejas disimbah cat merah dalam kejadian di Damai Rabu lepas.

KOTA KINABALU: Seorang pemilik syarikat perniagaan swasta panik seketika apabila mendapati premisnya yang terletak di Damai, dekat sini disimbah cat berwarna merah dalam kejadian awal pagi Rabu lalu.

Difahamkan mangsa lelaki tempatan dan berusia 37 tahun itu baharu sahaja ke premis berkenaan yang dijadikan pejabat perniagaannya kira-kira jam 7 pagi sebelum mendapati terdapat kesan simbahan berwarna merah di lokasi itu.

Bimbang perkara buruk terjadi, mangsa kemudiannya melaporkan insiden terbabit ke Balai Polis Luyang untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika kelmarin dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurut beliau, pihaknya masih melakukan siasatan sama ada kes itu berkaitan dengan perbuatan khianat atau sebaliknya.

“Siasatan terus dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat.

“Polis turut meminta bantuan ramai sekiranya menyaksikan kejadian ini untuk tampil menghulurkan maklumat,” katanya.