Remaja lelaki 15 tahun ditembak mati

0

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut setelah terkena tembakan polis ketika kenderaan yang dinaiki bersama rakannya cuba merempuh pasukan keselamatan dalam serbuan berhampiran Kampung Paris, Kinabatangan baru-baru ini.

Dalam kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang Selasa lalu itu, difahamkan remaja terbabit yang juga merupakan penumpang kenderaan berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian sementara rakannya, lelaki berusia 26 tahun telah ditahan.

Difahamkan sebelum insiden itu terjadi, sepasukan polis narkotik telah melaksanakan serbuan di sebuah rumah berdekatan kampung itu bagi menahan dua suspek lain yang dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Kedua-dua mereka yang menaiki Proton Waja tiba-tiba muncul di kawasan rumah terbabit dan telah diminta untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan polis.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan itu telah bertindak memecutkan kereta dan cuba merempuh anggota polis di situ sehingga terpaksa melepaskan beberapa das tembakan untuk mempertahankan diri.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib ketika ditemui kelmarin mengesahkan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu dipercayai suspek kepada aktiviti pengedaran dadah dan mempunyai kaitan dengan dua lagi suspek yang ditahan di dalam rumah sebelum kejadian berkenaan terjadi.

“Kita telah menahan pemandu terbabit dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Hamza berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Malek Harun dan Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun.